KUCHING: Diyakini sebagai salah satu produk tarikan pelancongan terbaharu di Sarawak, D-Virtual Park Kota Samarahan menjadi produk perintis untuk pembangunan teknologi digital di rantau ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Serba Dinamik Holdings Bhd, Datuk Dr Ir Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, pihaknya kini merancang membangunkannya di beberapa buah negara mengikut permintaan dan kerjasama.

“Jenama D-Virtual Park telah kita patenkan dan diluluskan di bawah MyIPO. Projek perintis di Kota Samarahan ini juga akan dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Johor.

Foto Ghazali Bujang

“Kini kita juga mempromosikan konsep D-Virtual Park di luar negara, Maldives dan Tajikistan sangat berminat. Oleh itu, kita menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk mewujudkan D-Virtual Park ini di sebuah resort di pinggir kota London,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak di D-Virtual Park Khamis lalu.

Malah katanya kini pihaknya telah berjaya menembusi pasaran di Abu Dhabi dan mendapat kepercayaan daripada negara-negara lain.

“D-Virtual Park merupakan sebuah konsep yang lebih kecil, berbanding konsep yang lebih besar yang akan kita laksanakan dengan gabungan hub inovasi digital dan taman tema digital,” katanya.

Ujarnya lagi melihat kepada perubahan zaman, maka teknologi juga berubah dan minat orang ramai juga akan berubah.

“Kebiasaannya orang akan selalu berusaha untuk menggunakan teknologi canggih terkini dari segi kejuruteraan, pelancongan, hiburan dan sebagainya,” katanya.

D-Virtual Park memaparkan elemen untuk teknologi seperti hiburan yang akan menarik pelancong untuk mengalami teknologi digital ini.

“Oleh itu, saya berpendapat bahawa ia akan menjadi tempat yang mesti dikunjungi oleh pelancong. D-Virtual Park di Samarahan ini akan menjadi lokasi ikonik yang tidak boleh dilupakan oleh pelancong,” ujarnya lagi.