KUCHING: Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menegaskan, parti itu punya sebab tersendiri untuk menyokong Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal menjadi calon Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa di negara ini.

Menurut beliau, satu daripadanya ialah meleraikan kebuntuan kemelut antara Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

PH Plus berdepan kekusutan kerana  DAP, Amanah dan Warisan mahu Mahathir manakala PKR bertegas mahu Anwar sebagai Perdana Menteri.

PH sebelum ini pernah berjanji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson selepas dua tahun Mahathir jadi Perdana Menteri, namun PH tumbang pada Februari lalu. Sebahagiannya kerana keengganan Mahathir untuk berundur dari jawatan itu sehingga mencetuskan krisis dalam PH.

“Timbul ketidakpercayaan antara kedua-duanya mencetuskan perpecahan terbesar dalam parti,” kata Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin.

Katanya, pada masa sama, Perdana Menteri Tan Sri Mahyuddin Yassin terus mengukuhkan kedudukan dalam Perikatan Nasional, dan menjatuhkan kekuasaan PH di beberapa negeri. Antara negeri yang tumbang ialah Melaka, Johor dan Melaka.

“Justeru, Shafie dilihat sebagai alternatif terbaik untuk memecahkan kebuntuan, kemelut dan pergolakan berhubung jawatan Perdana Menteri,” kata Chong lagi.

Shafie ialah bekas Naib Presiden UMNO, dan kini Ahli Parlimen Semporna dan Presiden Warisan.

“Kami percaya Shafie ialah jawapan kepada kemelut ini terutamanya hubungan Tun Mahathir, Anwar dan jawatan Perdana Menteri,” kata Chong dalam satu kenyataan.