KUCHING: Tiada kes positif baharu Covid-19 dicatatkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif kekal  571 dengan 17 kematian sejak virus maut itu dikesan 13 Mac lalu di negeri ini. 

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS)  turut memaklumkan tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital hari ini menjadikan jumlah kes sembuh dan dikeluarkan dari hospital setakat ini kekal  537 orang atau 94.05 peratus. 

“Seramai 17 orang pesakit masih lagi menerima rawatan di wad isolasi, tujuh di Hospital Umum Sarawak, seorang di Hospital Sibu dan sembilan di Hospital Bintulu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Tiga daerah iaitu Bintulu, Kuching dan Sibu masih berstatus kuning manakala lain-lain daerah berstatus hijau.

Katanya, bagi kes orang disyaki (PUI) pula, seramai 20 PUI baharu dilaporkan dengan satu kes masih menunggu ujian makmal.

JPBNS memaklumkan 60 orang di bawah pengawasan (PUS) mendaftar masuk di hotel hari ini bagi menjalani kuarantin. 

Ini menjadikan jumlah PUS di 13 buah hotel adalah seramai 928 orang dengan 16,901 PUS telah tamat menjalani kuarantin.