KUCHING: Kerajaan Sarawak sedang giat memelihara hidupan laut di pesisir pantai negeri ini dengan terbaru penanaman 1,200 bola terumbu karang di pesisir Muara Tebas- Sebuyau di Kuching.

Menurut kenyataan Perbadananan Perhutanan Sarawak (SFC), ini adalah sebahagian dari Projek Sarawak Reef Ball Project (SRBP) yang diilham Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari bin Tun Openg dalam memulihara dan melindungi hidupan laut.

“Projek ini telah dimulakan pada tahun 2018 bertujuan untuk menanam 17,200 bola terumbu karang di sepanjang pantai Sarawak dari Tanjung Datu ke Lawas.

“Ianya bertujuan melindungi dan memulihara ekosistem laut, serta mempopularkan ekopelancongan baharu untuk aktiviti menyelam dan sukan scuba.

“Di samping itu, dapat meningkatkan kehidupan masyarakat tempatan dengan meningkatkan hasil sumber laut dan melindungi kawasan perikanan dari kegiatan pukat tunda haram,” katanya.

Majlis tersebut telah disempurnakan Ketua Menteri di Jeti Kompleks Maritim Run Abang Salahuddin (KOMTAS), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Muara Tebas, Kuching.

Untuk rekod, sejumlah RM70 juta telah diperuntukan bagi projek ini dengan SFC telah menanam 600 unit bola terumbu di perairan pesisir Belawai-Paloh pada 2018, 600 unit dan 1,200 unit di perairan pantai Lawas dan Igan ke Mukah masing-masing tahun lalu, sementara 1,200 unit lagi kini ditanam di Muara Tebas – perairan Sebuyau.

Dalam pada itu, 6,000 unit bola terumbu akan ditanam di perairan Sarawak pada tahun ini dan 7,200 unit lagi akan ditanam pada tahun 2021.

Dalam kenyataan itu juga, Ketua Menteri yang juga Pengerusi SFC berkata, Projek SRBP ini turut berjaya meningkatkan sosioekonomi kehidupan nelayan tempatan.

“Ini terbukti apabila jumlah tangkapan nelayan di kawasan perairan Sematan dan Belawai telah meningkat dengan ketara setelah bola karang karang ditanam.

“Selain menghindar daripada pukat tunda, hidupan laut juga akan tumbuh dan berkembang biak, dan nelayan tempatan yang tinggal di pesisir dapat memperoleh hasil yang lebih baik,” katanya.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Keseniaan dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Dato Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Muda Pembangunan dan Sumber Bandar Datu Haji Len Talif Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni dan Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipili Mohamad Aton.