KUCHING:  Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bagi membantu sektor itu bangkit semula, pihaknya menerusi Tourism Malaysia akan memperkukuh inisiatif di bawah pelancongan domestik melalui kempen Cuti-cuti Malaysia.

Selain itu, jelas beliau,  kementerian terbabit akan memperhebat aktiviti promosi selain bekerjasama dengan syarikat korporat dan pempengaruh.

“Kami juga akan meningkatkan kualiti produk dan perkhidmatan pelancongan dengan mengguna pakai kelaziman baharu bagi meningkatkan keyakinan pelawat, “ katanya.

Beliau berkata demikian  pada sidang media yang diadakan selepas sesi pertemuan bewrsama-sama pemain di BCCK di sini, Sabtu.

Langkah berkenaan, ujar beliau akan  menggalakkan para pelancong  tinggal lebih lama, mengunjungi lebih banyak tempat dan lebih banyak berbelanja.  

Justeru, beliau menggesa kerajaan negeri  dan pemain industri dalam sektor pelancongan dan kebudayaan khususnya agar memastikan perkhidmatan serta produk yang ditawarkan berkualiti tinggi, terutama mengenai keselamatan kesihatan dan kebersihan.

Kini, Nancy berkata, sudah ramai yang mulai melancong di bercuti dalam negeri seperti di Pulau redang.

“Ada yang menghantar gambar kepada saya dan menyahut seruan untuk pelancongan domestik,” katanya.

Ini, ujar beliau lagi, membuktikan bahawa ramai rakyat sudah tidak sabar untuk keluar mengunjungi tempat menarik.