KUCHING: Sebanyak 93 sekolah daif di negeri ini dibaik pulih menggunakan pembayaran pinjaman RM1 bilion Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan pada tahun 2019 hingga 2020.

Menteri Kanan Infrastruktur Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, usaha membaik pulih sekolah daif berkenaan terbahagi kepada tiga fasa.

“Pembayaran pinjaman bagi fasa pertama berjumlah RM350 juta digunakan untuk membaik pulih 41 sekolah daif yang kini dalam proses pembinaan.

“Pembayaran bagi fasa kedua berjumlah RM350 juta lagi digunakan untuk membaik pulih 52 sekolah daif yang kini dalam proses tender,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan sulungnya ke Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak selepas dilantik sebagai Menteri Kanan Infrastruktur di sini kelmarin.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, projek membaik pulih sekolah daif bagi fasa ketiga melibatkan pembayaran pinjaman berjumlah RM300 juta masih belum dimuktamadkan.

“Kerja-kerja baik pulih merangkumi bina baru dengan menggantikan sekolah yang daif dan terdapat pertambahan beberapa bangunan.

“Bagi tahun 2020, Sarawak tidak mempunyai peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan untuk membaik pulih sekolah daif tetapi kita menggunakan peruntukan melalui perundingan pembayaran pinjaman RM1 bilion,” jelasnya.

Menurutnya, pada tahun 2017 hingga 2018, sebanyak RM509.9 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan untuk membina sekolah di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, Sarawak menerima peruntukan berjumlah RM93.3 juta untuk membina lebih 30 sekolah pada tahun 2017 manakala 2018, sebanyak RM416.6 juta digunakan bagi membina 116 lagi sekolah.

“Pada tahun 2019, Sarawak menerima peruntukan RM100 juta untuk membina 32 sekolah apabila 18 daripadanya telah siap, 12 lagi dalam proses pembinaan manakala dua lagi masih ditender,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fadillah memberitahu, pihaknya sedang mengenal pasti isu-isu berbangkit dalam pelaksanaannya terutamanya melibatkan perhubungan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak.

“Ini kerana kita hendak memperbaiki sebarang kelemahan yang timbul untuk mempercepatkan pembinaan sekolah-sekolah daif ini. “Ia bukan sahaja untuk kemudahan anak-anak yang belajar malah para guru termasuk bangunan pentadbiran, asrama dan kuarters guru,” katanya.