KUCHING: Sarawak merekodkan satu kes positif baharu Covid-19 di Sibu menjadikan jumlah keseluruhan kes setakat ini sebanyak 571 dengan 17 kematian.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), kes itu  ialah lelaki tempatan berumur 32 tahun yang baru balik dari United Kingdom pada 17 Jun lalu dan telah menjalani kuarantin di Sibu.

Kata JPBNS dalam satu kenyataan hari ini, lelaki berkenaan  masuk ke negara ini melalui penerbangan dari London ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan ke Sarawak melalui Lapangan Terbang Sibu pada 18 Jun lalu.

“Dengan kes positif baharu dilaporkan di Sibu, daerah berkenaan kini bertukar status daripada zon hijau kepada kuning,” kata kenyataan itu lagi.

Ini menjadikan jumlah daerah berstatus kuning setakat hari ini sebanyak tiga dan berstatus hijau 37.

JPBNS juga memaklumkan tiada kes baharu yang sembuh dan discaj dari hospital hari ini. 

“Jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah sembuh dan discaj dari hospital setakat ini kekal 537 orang atau 94.05 peratus,” jelas JPBNS.

Sementara itu, 17 orang masih menerima rawatan di wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal 17 setakat ini.