KUCHING: Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff mengakui berdasarkan pandangan teman-temannya, kes saman fitnah  terhadap pemimpin DAP Sarawak Abdul Aziz Isa paling mudah untuk beliau menang di mahkamah.

“Beberapa orang rakan menyebut bahawa daripada 10 orang pemimpin DAP yang saya saman, kes terhadap Abdul Aziz Isa, yang merupakan Pegawai Khas Chong Chieng Jen merangkap Setiausaha Publisiti DAPSY Sarawak dan ketua DAP Batu Kitang merupakan kes yang akan saya menangi dengan paling mudah sekali,” katanya.

Kamarul Zaman membuat kenyataan itu dalam satu tulisan  bertajuk “Isu Evangelisme: Pemimpin DSAPY akan jadi lauk?” di Facebooknya.

Ini menurut penganalisis politik berkenaan, kerana dalam catatan di Facebook bekas calon DUN Batu Kitang itu, yang disiarkan pada 7 Jun 2017, terlalu banyak ayat bermasalah yang  dikemukakan oleh Abdul Aziz terhadapnya.

Dalam tulisan itu, Abdul Aziz mengemukakan 13 soalan untuk dijawab oleh pensyarah itu.

Selain itu, menurut Kamarul Zaman, pemimpin DAP Sarawak itu juga membuat empat pernyataan mengenainya termasuk bahawa dirinya makhluk pelampau agama dan hanya orang Islam yang jahil, bodoh dan bangang akan mengecam agama lain dek kerana tergoyah iman mereka.