KUCHING: Sudah tiba masanya Sarawak diberikan bantuan untuk merancakkan sektor pelancongan, kata Datuk Seri Nancy Shukri.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia itu berkata, sektor pelancongan di negeri ini jauh ketinggalan selain geografinya yang besar.

“Oleh kerana negeri ini banyak menyumbang melalui minyak dan gas, Sarawak perlu diberikan banyak bantuan pelancongan,” katanya ketika menyertai Majlis Makan Malam Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak di Hotel Waterfront di sini baru-baru ini.

Tambahnya, kerajaan akan mencuba sebaik mungkin membantu Sarawak dan Malaysia secara keseluruhan. “Jadi kita perlu bekerjasama.

Sekarang ini, kita juga saling berhubung melalui WhatsApp mengenai cara untuk membantu Sarawak,” katanya.

Ditanya adakah Sarawak akan kembali menyertai Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah tidak menolak kemungkinan untuk kembali bersama lembaga berkenaan.

“Saya akan berbincang mengenai perkara ini bersama-sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan saya rasa kita harus kembali. “Prospeknya baik tetapi kemudiannya mereka tekankan kepada kementerian di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Nancy pula menyambung, kementeriannya juga kini sedang melihat perkara berkenaan. “Kami telah berbincang berkenaan perkara ini sesama sendiri tetapi ia masih di peringkat tidak rasmi.

“Kita juga akan bawa perkara ini ke kabinet kerana ia diberhentikan di kabinet maka perlu dihidupkan semula di kabinet,” tambahnya.