SARATOK: Lelaki yang menetak seorang remaja lelaki di Kampung Kaba petang semalam berjaya diberkas pihak polis jam 4.40 pagi tadi.

Sebelum itu lelaki tersebut telah mengelak diri daripada diberkas pihak polis dengan memanjat dan berdiri atas bumbung rumahnya yang terletak di Kampung Hilir Kaba.

Pihak polis dan bomba terpaksa bekerja keras dalam usaha memberkas lelaki berkenaan dengan menggunakan beberapa pendekatan termasuk tindakan memujuk suspek untuk turun menyerah diri.

Namun suspek tetap berdegil dan enggan turun.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Ketua BBP Saratok, PPgB Nazry Mohamat berkata, pihak BBP Saratok menerima panggilan untuk memberi bantuan menguatkan pasukan operasi jam 4.52 petang.

“Balai Bomba dan Penyelamat Saratok menerima panggilan daripada Kopral Fauziah dari IPD Polis Saratok mohon khidmat bomba bagi memberi bantuan membawa suspek turun dari bumbung.

“Lelaki berkenaan dipercayai di bawah pengaruh bahan terlarang yang menyebabkan dia bertindak agresif dan di luar kawalan sehingga mencederakan orang lain.

“Akibat tindakan agresif pelaku tersebut seorang remaja lelaki berusia 14 tahun cedera parah di bahagian paha, lengan dan belakang kepala akibat ditetak dengan sebilah parang.

“Mangsa yang ditetak oleh pelaku telah dikejarkan ke hospital untuk rawatan,” ujarnya.

Tambah Nazry, lelaki tersebut pada awal kejadian telah dikejar oleh orang kampung dan dia kemudiannya telah lari ke rumahnya untuk berlindung dengan memanjat bahagian bumbung rumahnya dengan menebuk siling rumah dan naik ke bumbung bersamanya parang yang digunakan untuk menetak mangsa dan sebatang kapak.

Operasi untuk menangkap suspek dilakukan oleh 9 anggota bomba dan 12 anggota polis.

Menceritakan lanjut kronologi operasi menangkap suspek, Nazry memberitahu pada jam 11.30 malam pihak bomba bercadang membuat semburan air ke atas pelaku namun lelaki itu telah turun dan masuk ke dalam rumahnya melalui siling dan terus bersembunyi ke dalam biliknya di tingkat atas.

Pihak polis terus mengatur strategi untuk memujuk serta menangkap mangsa dari dalam rumahnya.

Pada jam 3 pagi pihak polis hadir dengan membawa perisai untuk naik ke bilik tersebut. Begitupun pelaku telah terjun dari tingkat atas dan lari ke kawasan semak.

Operasi memburu suspek terus dilakukan dengan turut dibantu oleh orang kampung. Pihak polis berjaya menangkap suspek pada pada jam 4.40 pagi ketika suspek berada dalam semak yang terletak kira-kira 70 meter dari rumah suspek .

Operasi ditamatkan jam 4.46 pagi dan suspek di bawa ke Balai Polis Saratok untuk tindakan selanjutnya.