KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak mengeluarkan kompaun terhadap seorang wanita yang balik dari Tunisia ke Miri baru-baru ini apabila tidak jujur ketika mengisi borang pengisytiharan kesihatan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah berkata, tindakan selanjutnya akan diambil sekiranya wanita berkenaan gagal membayar kompaun dalam tempoh yang ditetapkan.

“Oleh itu, amat penting untuk setiap rakyat Sarawak bersikap jujur ketika mengisi borang pengisytiharan kesihatan apabila kembali ke negeri ini. “Pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) memang memerlukan pengorbanan tetapi ia adalah demi kebaikan semua pihak,” katanya pada sidang media kemas kini pandemik Covid19 di sini kelmarin.

Dalam pada itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menambah, Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan dua kes tangkapan melalui jalan tikus di Serian.

“Tangkapan pertama melibatkan enam rakyat Indonesia yang cuba menyelinap masuk ke Sarawak melalui jalan tikus berhampiran dengan Kampung Tong Nibong, Serian.

“Mereka ditangkap bersamasama barang rampasan bernilai RM5,000 serta didakwa di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ANTIPSOM) 2007, Akta Imigresen 1959 dan Akta Pasport 1966,” jelasnya.

Tambahnya, tangkapan kedua pula melibatkan 19 lagi rakyat Indonesia yang menyusup masuk ke Sarawak dengan berjalan kaki melalui jalan tikus ke ladangan sawit berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia di Serian.

“Hasil pemeriksaan ke atas semua warga Indonesia tersebut, mereka didapati tidak mempunyai permit kerja atau dokumen yang sah. “Mereka ditahan dan diserahkan kepada Balai Polis Serian untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Uggah turut memberitahu, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak menolak 222 warga asing yang tiada kelulusan daripada JPBN untuk masuk ke negeri ini sejak 1 Februari hingga 25 Jun 2020.

Katanya lagi, seramai 476 lagi tahanan masih berada di depot Imigresen Sarawak yang dan ditempatkan di Depot Imigresen Semuja (258) dan Depot Imigresen Bekenu (218).