KUCHING: Dalam keadaan terdesak untuk memastikan PH dapat kembali berkuasa, DAP Sabah menggesa agar PBS Sabah, Star, PBRS, dan GPS Sarawak  memberikan keyakinan mereka terhadap  Datuk Seri Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri.

“Ini akan membolehkan Sabah dan Sarawak mendapat keuntungan daripada lebih banyak pembangunan dan dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat di sini,” kata DAP Sabah dalam satu kenyataan.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menyatakan penjajaran baharu dari segi calon bagi jawatan Perdana Menteri jika PH kembali berkuasa.

Sebelum ini, cadangan supaya beliau sendiri kembali menduduki jawatan itu untuk tempoh enam bulan seperti dicadang DAP dan Amanah ditolak PKR dan Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, ahli parlimen Langkawi itu pun mengemukakan cadangan baharu, dengan Ketua Menteri Sabah dicalonkan sebagai perdana Menteri manakala anaknya Datuk Seri Mukhriz dan Anwar sebagai timbalan. 

Sebelum ini, sudah terdapat cadangan supaya pemimpin politik dari Sabah atau Sarawak dilantik ke jawatan itu tetapi tidak dipedulikan oleh Perdana Menteri, termasuk Mahathir.

DAP Sabah berkata Shafie akan memastikan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 dan Sabah dan Sarawak tidak akan terpinggir dalam belanjawan pembangunan.

Kata mereka lagi, Shafie juga dapat menyelesaikan masalah berkaitan royalti minyak, pembayaran tunai petroleum, telaga minyak, dan hak negeri “yang tidak dapat dipersetujui oleh Perdana Menteri sekarang dan sebelum ini dari Semenanjung Malaysia.

Kenyataan itu tidak menyebut secara langsung nama Perdana Menteri berkenaan. Yang pasti, Perdana Menteri yang gagal berbuat demikian  termasuk Mahathir.

Tambah kenyataan tersebut, Perdana Menteri dari Malaysia Timur akan memastikan Sabah dan Sarawak tidak lagi dipinggirkan sebagai rakan kongsi dalam persekutuan.

Pemerhati berkata, mengapa tidak pemimpin politik dari Sarawak dilantik jadi Perdana Menteri.

Sebab, dalam kebiasaan baharu politik, jumlah ahli parlimen dalam parti tidak lagi menjadi penentu untuk menjadi Perdana Menteri seperti sebelumnya, bermula dengan pemerintahan PH dan kini PN.

Sementara itu, sebagai rakan setara dalam persekutuan Malaysia, ahli parlimen Selangau Baru Bian dalam satu kenyataan berkata, pemimpin dari Sabah dan Sarawak juga punya hak sama menjadi perdana menteri.