Thursday, May 19, 2022

Kapal yang berlabuh di Sarawak akan dinyah cemar

Secara Rawak

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan bekerjasama dengan Institusi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) untuk menjalankan aktiviti nyah cemar ke atas kapal-kapal yang berlabuh di Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing berkata, aktiviti ini penting bagi memastikan barangan yang dihantar melalui pengangkutan laut bebas daripada ancaman wabak COVID-19.

“Wabak COVID-19 ini tidak semestinya berakhir dalam masa terdekat.

“Oleh itu, kita perlu mengambil langkah waspada bagi mencegah ia daripada menular melalui pengangkutan laut,” katanya dalam sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Pengerusi NIOSH Malaysia, Datuk Wilson Ugak Kumbong serta beberapa ahli eksekutif NIOSH yang lain di pejabat beliau semalam.

Sementara itu, Tan Sri James Masing yang juga merupakan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, menambah bahawa beliau telah berbincang dengan NIOSH untuk menubuhkan sebuah cawangan di Kapit.

“Memandangkan pada masa sekarang terdapat pelbagai aktiviti pembangunan yang giat dijalankan di Kapit, para pekerja perlu diberi latihan bagi meningkatkan lagi pengetahuan mereka dari segi keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

“Ini termasuk sekitar 3,500 pekerja yang terlibat dalam pembinaan Empangan Baleh,” jelas beliau.

Turut hadir semasa kunjungan hormat tersebut ialah Timbalan Pengerusi NIOSH Malaysia, Dato T. Mohan, Pengarah Eksekutif NIOSH Malaysia, Ayob Salleh, serta Setiausaha Eksekutif NIOSH Malaysia, Mejar (B) Hanif Maidin. 

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru