KOTA KINABALU:  Satu taktik pecah dan perintah yang sudah menjadi amalan biasa dilakukan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad.

Itulah tanggapan Setiausaha Pemuda Pakatan Harapan Sabah, Razeef Rakimin mengenai pengumuman bekas perdana Menteri itu bahawa Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal  akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri Pakatan Harapan Plus.

Semalam Dr Mahathir mengumumkan, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Menteri Besar Kedah, anaknya sendiri Datuk Seri Mukhriz akan dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

PH Plus kini berdepan krisis apabila Dr Mahathir tidak bersetuju PKR mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon. Sebaliknya, PKR pula tidak bersetuju langkah DAP, Amanah dan Warisan mencalonkan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri untuk kali ketiga.

Pada satu peringkat beliau mengancam untuk memutuskan kerjasama dengan PKR dan Anwar.

Razeef berkata, Dr Mahathir sudah ketandusan idea dan pencalonan Shafie akan menjadi perangkap kepada Pakatan Harapan.

“Pertama, siapa dia untuk menentukan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan? Beliau bukan pemimpin Pakatan Harapan bahkan beliau tidak mempunyai parti politik setelah dibuang oleh parti yang diasaskannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

“Kedua dengan sokongan lima Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat dan sembilan Ahli Parlimen Warisan, bagaimana beliau menganggap boleh mendapat sokongan majoriti?,’ tegas beliau.

“Pemilihan Shafie juga merupakan perangkap kepada Pakatan Harapan kerana bila Pakatan Harapan menolak cadangan berkenaan, sudah tentu beliau akan menggunakan isu Pakatan Harapan menolak pemimpin Sabah dan Borneo kerana propaganda berkait isu perkauman adalah kepakaran beliau sebagaimana beliau sering mendakwa Cina menindas Melayu dan beliau juga pernah menyatakan orang Sabah pemalas,” kata Razeef lagi.

Justeru,  beliau mengingatkan  pemimpin PH agar untuk terus berpegang kepada prinsip dan kekal dengan hala tuju dan pendirian serta tidak termakan dengan umpan Ahli Parlimen Langkawi itu untuk kembali berkuasa.

“Adalah lebih baik Pakatan Harapan memperkukuhkan setiap parti komponen masing-masing dan mempersiapkan jentera pilihan raya di semua 222 Parlimen seluruh negara,” katanya.