KOTA SAMARAHAN: Jalan Datuk Mohd Musa dari arah Kota Sentosa hingga ke bulatan berdekatan Universiti Malaysia Sarawak  sering sesak terutama pada waktu puncak sebelah pagi dan petang.

Keadaan ini menimbulkan ketidakselesaan kepada 70,000 ribu pengguna jalan raya sepanjang  11.6 km itu setiap hari.

Namun, masalah tersebut dijangka selesai apabila projek menaik taraf jalan raya utama itu siap dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof semalam berkata, projek berkenaan sebenarnya diluluskan ketika beliau memegang jawatan itu di bawah Kerajaan BN.

Namun, jelasnya, susulan pertukaran Kerajaan Persekutuan kepada PH pada Mei 2018, projek itu telah tidak dilaksanakan.

Surat setuju terima projek berkenaan dikeluarkan pada 17 Mac lalu.

Jelas beliau, pembinaan jalan persekutuan itu diberi kepada syarikat kontraktor Musyati Sdn Bhd melalui tender terbuka dengan piawaian U5 standard JKR.

“Apabila kerja pembinaan dimulakan kelak, ia pasti amat mencabar kerana kesesakan akan berlaku,” jelasnya.

Oleh itu, beliau berharap para pengguna jalan raya mematuhi pengurusan lalu lintas ketika projek itu dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kemalangan.