Selepas ditolak oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) pencalonan Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri Ke-3, Mahathir cuba menafikan komponen PH apabila mencadangkan Presiden Warisan Sabah sebagai calon perdana menteri sekiranya Pakatan  Harapan (PH) Plus kembali berkuasa.

Mahathir juga menyatakan terdapat persetujuan  bahawa anaknya Mukhriz Mahathir yang gugur keahlian Bersatu menurut ROS sebagai calon jawatan timbalan Perdana Menteri  bersama-sama Presiden PKR Anwar Ibrahim yang mempunyai 39 ahli parlimen PKR.  Hal ini menyebabkan banyak perbincangan dalam media sosial mengenai isu ini yang lebih melihat  tidak ada logikanya. 

Reaksi Sarawak

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri James Jemut Masing menganggap idea Mahathir untuk mencalonkan Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal sebagai ‘suatu jenaka dalam abad ini’.  

“(Datuk Seri) Shafie (Apdal) sebagai calon perdana menteri dan (Datuk Seri) AI (Anwar Ibrahim) sebagai timbalan perdana menteri? “

“Adakah ini jenaka Mahathir? Saya harap (Mahathir)  bangun dan sedar  ketika mengemukakan kenyataan ini, jika tidak, cadangan ini hanya sebagai jenaka dalam abad ini. Cadangan ini perlu bergerak melangkaui bermimpi.”  Demikian reaksi James Masing yang juga Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) kepada sebuah akhbar berbahasa Inggeris, New Straits Times. PRS ialah salah satu komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS).  

Abdul Karim Hamzah, iaitu Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pula menganggap cadangan Shafie sebagai calon perdana menteri ialah sekadar fantasi Mahathir dan Karim meragui sama ada DAP dan Amanah akan  terikut-ikut akan fantasi tersebut.

Dengan kata lain, ia sekadar utopia, iaitu seronok dicipta, seolah-olah benar tapi tidak berpijak di bumi nyata seolah-olah tergambar dalam Utopia ciptaan Thomas More (1516). 

Paradoks Politik

Ketika ini PKR mempunyai 38 kerusi parlimen, DAP mempunyai 42 kerusi parlimen, manakala Amanah mempunyai 11 kerusi parlimen yang masing-masing menunjukkan pengaruh dan kekuatan kerusi masing-masing namun Warisan hanya mempunyai 9 kerusi sahaja dan Mahathir cuma ada 5 kerusi parlimen sahaja.

Ketika Mahathir cuba melengah-lengahkan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim, Mahathir berhujah bahawa Anwar sukar menjadi perdana menteri  kerana Anwar mewakili parti berbilang kaum dan liberal.

Namun apabila Mahathir sendiri mencalon Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri, ia agak pelik kerana parti Warisan  merupakan parti pelbagai kaum. Malah parti warisan parti berbilang kaum untuk peribumi  di negeri Sabah sahaja sedangkan PKR parti berbilang kaum mewakili seluruh etnik di Malaysia.

Anwar pula dituduh Mahathir liberal apabila  mewakili parti pelbagai kaum walaupun Anwar akur terhadap Perlembagaan Negara dan memastikan  dasar negara bersifat inklusif tanpa menafikan hak-hak keistimewaan Melayu Islam dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Shafie Apdal sehingga kini dianggap sebagai ahli politik di peringkat negeri Sabah atau lebih sesuai sebagai tokoh politik peringkat Sabah, sedangkan Anwar Ibrahim pula diiiktiraf sebagai tokoh atau ikon politik nasional dan diiktiraf di peringkat antarabangsa. Tentulah sesuatu aneh apabila tokoh besar dicadangkan sebagai menjadi nombor dua sahaja. 

Kalau pencalonan Mahathir dan Anwar pun dikatakan tidak mendapat sokongan majoriti dewan rakyat, apa pula jaminan Shafie Apdal dapat sokongan besar parlimen, inilah menyebabkan cadangan ini dipandang sepi oleh ahli politik dari Sarawak yang mempunyai kerusi jauh lebih besar daripada Warisan, Sabah.

Manipulasi Politik

Cadangan mencalonkan Shafie lebih dilihat sebagai protes Mahathir apabila pencalonannya tidak diterima PKR. Maka, Mahathir setakat ini seolah-olah akan memastikan sesiapa sahaja boleh jadi calon perdana menteri asalkan bukan Anwar Ibrahim.  Perkara ini menyerlahkan sikap Mahathir yang tidak mahu Anwar menjadi Perdana Menteri kerana beliau tahu Anwar boleh melakukan pemerintahan yang lebih baik daripada Mahathir yang dilihat lebih mengarah kepada neo kapitalisme. Anwar juga mempunyai jaringan antarabangsa yang luas merentasi sempadan dunia barat dan timur. 

Dari satu segi, cadangan dua calon timbalan perdana menteri  dari Semenanjung Malaysia juga memperlihatkan kejanggalan. Ia seolah-olah tidak mahu membuka laluan masa depan kepada negeri Sarawak. Sepatutnya, ia perlu membuka peluang kepada Sarawak sebelum meletakkan 2 calon dari Semenanjung Malaysia. 

Pencalonan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri selepas kerajaan yang dipimpin Mukhriz tumbang dilihat kurang sesuai berdasarkan kekuatan parti. Sekiranya, mahu membuka dan memastikan sokongan Melayu Islam lebih luas, calon jawatan timbalan perdana menteri sepatutnya diserahkan kepada parti Amanah.  Hal ini kerana parti Amanah mempunyai 11 kerusi parlimen, manakala Bersatu Hitam (merujuk kumpulan pro Mahathir) hanya mempunyai 5 kerusi sahaja dan keanggotaan dalam Bersatu sudah tergugur sebagaimana dimuktamadkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ramai juga melihat kedudukan Shafie sendiri kurang stabil  berbanding kedudukan  Abang Johari di negeri Sarawak. Sekiranya Mahathir ikhlas mahu penglibatan Sabah dan Sarawak, ia patut  menawarkan Sarawak kerana kepimpinan Abang Johari lebih kukuh, bijaksana dan menunjukkan kepimpinan  yang lebih baik dan terarah.  Terdapat 165 ahli parlimen di Semenanjung  manakala 57 ahli parlimen terdapat di Sabah dan Sarawak. 

Strategi Politik

Namun pencalonan Shafie Apdal sebenarnya dapat membuka dinamika politik khususnya terhadap kedudukan Shafie sendiri.  Kerajaan pemerintah Sabah kini mempunyai 45 kerusi Adun termasuk empat Adun dilantik manakala pembangkang pula mempunyai 20  kerusi Adun termasuk 1 kerusi dilantik. Apabila Musa Aman  bebas daripada tuduhan mahkamah, dinamika politik sudah berbeza. Menurut beberapa sumber Musa Aman  dikatakan kembali membuat percaturan politik dan dikatakan mampu menguasai 35 Adun.

Sekiranya ini berlaku bermakna Shafie hanya mempunyai  30 kerusi sahaja dan sekiranya ini benar-benar berlaku, ini akan mengakibatkan Shafie perlu berkompromi  dengan Perikatan Nasional untuk  menyelamatkan kedudukan parti Warisan dan kerajaan negeri Sabah.

Dengan kata lain, Muhyiddin Yassin selaku Perdana Menteri dapat mengekang tindak tanduk Shafie dengan memastikan Shafie tunduk kepadanya, dan Muhyiddin mempunyai  pengaruh yang besar  untuk memastikan  sama ada kerajaan Warisan di Sabah akan tumbang atau sebaliknya.

Musa Aman pula dilihat akan akur terhadap Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kerana kuasa perdana menteri dilihat cukup besar dalam menentukan jatuh bangun ahli politik terutamanya Musa Aman yang baru gugur daripada sabitan mahkamah.  Di satu sisi yang lain,  Muhyiddin Yassin berjaya mengawal dan membuat percaturan politik di negeri Sabah dan memastikan parti Umno tidak terlalu kuat di Sabah kerana boleh menyebabkan kedudukan Bersatu di negeri Sabah terjejas akibat dominani Umno sekiranya tidak terkawal. 

Jalan lain ke Putrajaya

Terdapat juga, spekulasi politik kononnya apabila Shafie dicalonkan sebagai PM, maka kedudukan Shafie dapat diperkuatkan di Sabah dan Tun  melihat kononnya akan mengharapkan sokongan  baharu daripada kem Azmin dan Hishamudin. Sebelum ini Tun dilihat begitu yakin terhadap sokongan diperoleh dari DAP dan Amanah akan berterusan. Namun, Mahathir silap untuk bergantung kepada sokongan DAP dan Amanah kerana kedua-dua parti tersebut mempunyai penyokong dan akar umbi mereka yang kebanyakan menolak kerjasama dengan Mahathir, sebaliknya mahu  pemimpin mereka bekerjasama dengan Anwar dan PKR.  

Yang kedua, Dap dan Amanah sendiri tidak akan mahu bekerjasama dengan kumpulan Azmin dan Hishamuddin  jika inilah yang berlaku apabila ini dikaitkan dengan isu pengkhianatan Langkah Sheraton.  Bermakna, Mahathir hanya mampu melengah-lengah masa dan dilihat cuba memecahkan kesatuan dalam Pakatan Harapan. 

Namun, sebagaimana tertera dalam  facebook YB Fahmi  Fadzil  pada majlis makan tengah hari di antara pemimpin utama DAP, PKR dan Amanah  tanpa pro Mahathir dan Warisan, terdapat  kapsyen yang mempunyai maksud yang dalam tertera, iaitu ‘air dicincang tidak akan putus.’  Ini menunjukkan mesej tersirat ahli gabungan Pakatan Harapan untuk Mahathir.

Pada masa yang sama, cadangan meletakkan Shafie sebagai calon perdana menteri bermula daripada idea Mahathir yang kini tidak mempunyai platform politik selepas terpelanting daripada parti Bersatu. Mahathir  juga belum disahkan penyertaannya dalam PH plus, sebaliknya baru peringkat rundingan membentuk Plus tersebut.  Yang pasti  Mahathir kini belum ada medium rasmi dan perlu platform rasmi untuk bergerak atau berhadapan risiko tidak relevan lagi dalam politik!

Hal ini menyukarkan Mahathir untuk bergerak dengan mempunyai ahli parlimen amat sedikit dan tidak berparti, apatah lagi untuk mengemukakan idea yang tidak masuk akal. Sebab itu, ada cadangan nakal daripada Najib Tun Razak agar Mahathir dilantik sebagai pengerusi  DAP.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.