KUCHING: Sektor pelancongan di negara ini dijangka pulih sepenuhnya menjelang suku pertama atau ketiga tahun depan.

Menurut Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Seri Nancy Shukri, sektor ini pada awalnya dijangka mulai pulih menjelang tahun ini.

Untuk rekod, disebabkan penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan atau penguncian di seluruh dunia susulan penularan Covid-19, sempadan negara tidak dibuka kepada negara luar.

Sasaran 30 juta pelancong di bawah Tahun Melawat Malaysia juga terjejas.

“Namun, kelihatannya proses pemulihan berlalu lebih awal. Terima kasih kepada barisan depan yang telah berusaha keras bagi memastikan kesihatan kita terjamin,” katanya kepada media.

Mengenai langkah untuk menarik pelancong ke negara ini selepas Covid-19, Nancy berkata, kementeriannya akan berusaha menyemai keyakinan dan kepercayaan dalam kalangan pelancong bahawa negara ini telah mengamalkan prosedur keselamatan yang ketat bagi menangani pandemik Covid-19.

Jelas beliau, kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pelancongan domestik.