KUCHING: Projek Kecil Luar Bandar – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) terus diperkasakan dalam kawasan Batu Kitang.

Adun Batu Kitang Lo Khere Chiang berkata, di bawah projek tersebut, pihaknya berjaya membantu kira-kira 70 rumah sejak 2017 hingga kini.

“Tahun ini (2020) hingga pertengahan tahun hadapan (2021), tidak kurang daripada 30 rumah golongan miskin dan mereka yang memerlukan akan dibantu.

“Saya bangga dan berterima kasih kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana telah mencadangkan program baik pulih rumah di mana setiap Adun diberikan RM1 juta setiap tahun untuk membantu rakyat yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada di rumah milik Chin Nam Chong, di Lorong 1 Jalan Cinle di sini, semalam.

Dalam hal berkaitan, beliau mendedahkan bahawa RM15,000 telah diperuntukkan untuk membeli bahan untuk membaik pulih bumbung rumah Nam Chong tersebut.

“Ini kerana, keadaan bumbung rumah sebelum dibaik pulih sangat usang dan apabila hujan air akan masuk dan sebagainya.

“Saya berasa bangga kerana projek membaik pulih bumbung rumah ini dilakukan secara bergotong-royong oleh kumpulan Rela Landeh, JKKK Pasar Kota Padawan Batu 10 dan sebagainya.

“Setiap hujung minggu, mereka akan datang untuk membuat projek ini dan saya hanya bantu mengeluarkan bahan sahaja, ia membuktikan hubungan dan komunikasi dalam komuniti di sini sangat baik,” jelasnya.

Khere Chiang memberitahu bahawa, beliau sangat terharu dengan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak dalam melaksanakan projek tersebut.

Sementara itu, anak lelaki bongsu daripada keluarga Chin Teck Choi tersebut berkata mereka gembira melihat keadaan bumbung rumah sudah dibaik pulih.

“Sebelum ini apabila hujan saya akan naik ke bumbung untuk menutup bahagian bocor untuk mengelak air masuk ke dalam rumah. “Selepas dibaik pulih ini, kami tidak perlu risau apabila hujan dan sebagainya,” katanya.

Untuk rekod, penerima bantuan tersebut merupakan golongan B40 dan mereka hanya menjual sayur yang ditanam di sekitar kawasan rumah untuk memperoleh pendapatan harian.

Rumah tersebut didiami oleh 11 orang ahli keluarga termasuk dua orang kanak-kanak. Projek baik pulih tersebut dimulakan pada 10 Jun lalu dan siap pada 18 Jun.