KUALA LUMPUR:  Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek secara sinis mencadangkan kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang agar memujuk  Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya menerima bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjawat jawatan Perdana Menteri selama enam bulan.

Katanya,  Anwar mungkin serik dengan janji enam bulan setelah sebelum ini janji untuk ‘menobatkan’ Ketua Pembangkang berkenaan sebagai pengganti  Dr Mahathir tidak kesampaian berikutan kerajaan Pakatan Harapan (PH) runtuh Febuari lalu.

Shabery turut berpandangan elok Kit Siang meminta supaya parlimen dibubarkan bagi membolehkan janji-janji baharu dibuat setelah rakyat mungkin lupa janji-janji sebelum ini termasuklah janji 100 hari manifesto PH.

“Kit Siang beri jaminan mereka tak akan tinggalkan Datuk Seri Anwar untuk beri laluan Tun Mahathir jadi PM ke-9. Alasannya hanya Tun Mahathir boleh dapatkan ‘nombor’ dan sokongan Melayu untuk ‘Uncle’ dan parti ‘Uncle’ berkuasa kembali,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya.

“’Uncle’ pujuk Anwar terimalah Tun Mahathir. Janji baru hanya enam bulan je. Anwar pulak dah serik. Dulu pun dah janji. Sekarang nak janji lagi? Sebenarnya rakyat semakin lupa janji-janji itu. Rakyat pun dah lupa janji 100 hari manifesto PH. Rakyat pun dah lupa jasa-jasa PH semasa 22 bulan memerintah,” katanya lagi.

“Elok ‘Uncle’ mintak supaya Parlimen bubar macam Singapura. Dap ikut PAP. Lagipun COVID Singapura lebih parah dari Malaysia. Dap boleh mula buat manifesto 100 hari baru. Dapatkan mandat baru. Buat cerita baru nak Selamatkan Malaysia. Lepas ni mulakan semula Malaysia Baru yang terbaru. Yang lama… hanyalah ‘Uncle’ dan nama-nama yang ‘Uncle’ suka tadi,” kata Ahmad Shabery.