KUCHING: Jika pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Kamarul Zaman Yusoff berjaya dalam samannya terhadap  terhadap lapan orang pemimpin DAP, beliau mungkin akan menjadi jutawan dalam sekelip mata, kata  Pembantu Khas Pengerusi DAP Sarawak, Abdul Aziz Isa.

Pengerusi DAP Sarawak yang juga Ahli Parlimen  Stampin Chong Chieng Jen turut disaman oleh penganalisis politik itu dengan jumlah RM5 juta setiap seorang atas  kenyataan yang dibuat mereka yang didakwa mengandungi unsur fitnah.

“Jumlah keseluruhan ganti rugi yang dituntut oleh Kamarul adalah RM40 juta,” kata Abdul Aziz.

“Beliau berhak terhadap pendapatnya dan saya juga berhak terhadap pendapat saya. Saya tidak akan mengeluarkan kenyataan jika beliau tidak mengeluarkan kenyataannya terlebih dahulu dan menyiarkan kepada pihak ketiga,” kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan di Facebooknya.

“Sebagai rakyat Sarawak dan ahli politik, saya mempunyai tanggungjawab melindungi rakyat. Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum, bahasa dan agama,” katanya.

Kamarul Zaman mengambil keputusan untuk menyaman Abdul Aziz ekoran  kenyataan Abdul Aziz  di Facebook pada 7 Jun 2017.

Pemimpin DAP  lain yang turut disaman oleh Kamarul Zaman ialah Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Iskandar Puteri), Theresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Lim Lip Eng  (Ahli Parlimen Kepong), Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, Adun Seri Delima Syerleena Abdul Rashid dan bekas Senator DAP Dr Ariffin Omar.

Abdul Aziz berkata, beliau menerima surat tuntutan daripada Azril $ Assiciates bagi pihak pensyarah berkenaan semalam.