SERIAN: Kebimbangan penduduk Kampung Rayang yang sering berdepan masalah dinaiki air selepas berlakunya hujan lebat bakal berakhir apabila projek menaik taraf jalan dan saluran pembentungan dilaksanakan bermula semalam.

Majlis Serah Tapak Projek Menaik Taraf Jalan dan Saluran Pembentungan di Kampung Rayang, Serian telah disempurnakan oleh Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Tarat, Datuk Roland Sagah Wee Inn.

Projek tersebut merupakan inisiatif Datuk Roland Sagah setelah mendapat aduan penduduk kampung berkenaan yang mengatakan kawasan tersebut sering dinaiki air.

Dalam ucapan ringkasnya, beliau memberitahu, kos projek naik taraf berkenaan adalah sebanyak RM300,000 dan dibiayai oleh kerajaan Sarawak.

Jelasnya, Majlis Daerah Serian akan mengendalikan projek naik taraf tersebut.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak, Dr Simon Sinang Bada, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Setiausaha Majlis Daerah Serian, Constantine Gerald David Jonas.