KUCHING: Kerajaan Sarawak tidak mempunyai sebarang masalah memberi lanjutan tempoh kepada kontraktor untuk menyiapkan projek yang diamanahkan.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kelewatan dalam melaksanakan projek disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran pandemik Covid19.

“Kita tiada sebarang masalah untuk memberi lanjutan masa kepada pihak kontraktor.

“Bagaimanapun, kita berharap agensi pelaksana seperti JKR, DID, Residen dan Pejabat Daerah termasuk pihak berkuasa tempatan memantau rapat kemajuan projek apabila kerja-kerja pembinaan disambung semula,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat bersama jabatan kerajaan di Betong mengenai status pelaksanaan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).

Uggah yang juga Adun Bukit Saban menambah, dengan kelonggaran masa berkenaan, pihak kontraktor dapat mengejar masa pembinaan projek.

“Ini kerana projek-projek terbabit amat penting kepada rakyat. “Difahamkan, beberapa projek tergendala akibat PKP lalu,” ujarnya.

Hadir sama ialah Adun Layar Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Dr. Richard Rapu dan Residen Bahagian Betong Friday Belik.