KUCHING: Selepas tertangguh disebabkan penularan wabak pandemik COVID-19, kini beberapa projek pembinaan yang dilaksanakan di kawasan DUN Satok disambung semula.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Abdul Samad Gani melahirkan rasa puas hati di atas pelaksanaan Projek Rakyat ini dengan meminta kontraktor memastikan projek ini siap, tetapi juga berkualiti seperti yang dipersetujui.

“Saya berpuas hati di atas pelaksanaan Projek Rakyat yang kini telah diteruskan kembali selepas tertangguh selama tiga bulan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan ekoran penularan wabak pandemik COVID-19.

“Kita memahami PKP telah menyebabkan banyak projek yang tertangguh, tetapi ia bukan alasan untuk memastikan projek tersebut disiapkan dengan berkualiti.

“Ini adalah Projek Rakyat yang diluluskan Kerajaan Sarawak untuk memastikan masyarakatnya mendapat dan menerima faedah khususnya dalam menyelesaikan masalah yang sering berlaku sebelum ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan tinjauan Projek Membina Tembok Penahan (Gabion Wall) di Kampung Kudei Lama pada Khamis.

Hadir sama, pegawai dari Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC), Ketua Kaum Kampung Kudei Baru, Ketua Ranting PBB Kudei Baru dan Kudei Lama dan staf dari BL Konsultan, Perunding IRIZ dan Peunding Ukur Bahan Asmy.