DUBAI: Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran bahawa pandemik Covid-19 semakin cepat melonjak ketika Arab Saudi mengumumkan akan membenarkan ibadah haji dengan bilangan jemaah yang “sangat terhad” dan jumlah jangkitan global kini melebihi sembilan juta.

Eropah melonggarkan sekatan perjalanannya sejak beberapa minggu ini, dan Perancis pada Isnin mengambil langkah terbesar kembali ke normal dengan membenarkan jutaan kanak-kanak kembali ke sekolah.

Tetapi banyak bahagian di dunia, termasuk Amerika Latin dan Asia Selatan, baru sahaja mula mengalami kesan pandemik tersebut, sementara rantau lain dilanda gelombang kedua.

“Pandemik itu masih semakin cepat melonjak,” kata ketua pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus pada forum kesihatan maya yang dianjurkan oleh Dubai di Emiriah Arab Bersatu.

Tedros mengatakan ancaman terbesar dihadapi dunia bukanlah virus itu sendiri, tetapi “kurangnya solidariti global dan kepemimpinan global.” Kini virus itu mengorbankan lebih 465,000 nyawa dan menjangkiti 9 juta orang.

“Kita tidak dapat menewaskan pandemik dengan dunia berpecah belah,” katanya.

“Mempolitikkan pandemik memburukkan lagi keadaan.” Presiden Brazil Jair Bolsonaro telah berulang kali meremehkan ancaman Covid-19, membandingkannya dengan “selesema biasa” dan berpendapat kesan penutupan ekonomi lebih buruk daripada virus itu sendiri.

Brazil negara kedua paling teruk terjejas di belakang AS, dengan jumlah kematian melebihi 120,000 pada Isnin dan pertikaian politik menghalang dasar penyatuan.

Mexico, Peru dan Chile juga menghadapi krisis yang teruk dengan Mexico City terpaksa menunda rancangan membuka semula ekonomi secara meluas apabila jumlah kematian di negara itu meningkat melebihi 20,000.

Dengan vaksin yang masih jauh, WHO meminta peningkatan pesat dalam pengeluaran steroid dexamethasone, yang terbukti berpotensi menyelamatkan nyawa bagi pesakit yang kritikal.