KUCHING: Semua warganegara Malaysia dari luar negara termasuk yang mempunyai  penerbangan transit pada hari yang sama akan dikuarantin di destinasi terakhir mereka tiba di Sarawak, kata Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak.

Katanya dalam satu kenyataan semalam, ujian Covid-19 akan diambil pada hari kedua.

”Jika keputusan mereka negatif, mereka akan menyambung baki kuarantin di rumah,” katanya.

Jelasnya lagi, ujian Covid-19 kedua akan diambil selepas hari kesepuluh.

Sementara itu, semua warganegara Indonesia yang mempunyai permit kerja yang sah dibenarkan masuk ke Sarawak.

Katanya, mereka wajib menjalani kuarantin selama 14 hari.

“Kos kuarantin di pusat kuarantin  yang telah ditetapkan dan ujian Covid-19 pada hari ketibaan dan hari kesepuluh akan ditanggung majikan,” katanya lagi.

Terdapat satu kes positif Covid-19 semalam sekali gus bermakna 570 kes positif keseluruhannya  sehingga semalam.

Jumlah kes kematian kekal 17 sejak virus maut itu mulai dikesan di negeri ini pada 13 Mac lalu.