BINTULU: Sebanyak 13,500 liter minyak diesel dianggarkan bernilai RM23,895 dan sebuah lori tangki  dirampas dalam Op Landai di Batu 60 Jalan Bintulu-Miri lama di sini pada Rabu.  

Pemandu lori tangki muatan minyak diesel berusia 50-an turut ditahan selepas pemeriksaan dijalankan bagi membantu siasatan.

Menurut Komander PPM Wilayah 5 Sarawak ACP Shamsol Kassim, operasi  pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 Bintulu sekitar 11 pagi  itu, membabitkan seorang pegawai dan tiga anggota Unit Risikan Marin itu

Jelasnya, rampasan itu dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan memiliki atau menyimpan barang kawalan tanpa permit atau tanpa lesen atau tanpa kebenaran khas dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 

“Pemeriksaan mendapati pemilik atau penjaga gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran dari pihak KPDNHEP,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kes itu dirujuk dan diserahkan kepada KPDNHEP Bahagian Bintulu untuk tindakan lanjut.