KUCHING: Parti Progresif Demokratik (PDP) bersiap sedia sekiranya pilihan raya mengejut diadakan di negeri ini.

Ketua Wanitanya Datuk Chiew Yen Chew berkata, walaupun belum diketahui bila pilihan raya diadakan, namun PDP telah bersedia ke arah itu.

“Sebenarnya, kita harus manfaatkan peluang ini apabila pemimpin DAP dan PKR di peringkat nasional ketika ini menghadapi kemelut dan memikirkan cara untuk menyelesaikannya,” katanya.

Beliau berkata, apabila tiba masanya, PDP akan melakukan kempen menjelang PRN dan PRU di bawah satu jenama iaitu Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sayap wanita kami sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita di bahagian utara dan selatan.

“Parti kami berasaskan kaum peribumi dan kepelbagaian luar bandar menjadikan strategi kempen kami berbeza dengan bandar. “Jentera kami fokus melakukan program kemasyarakatan dan ikut serta dalam program akar umbi dalam populasi luar bandar.

Kami berhubung dengan pengundi, menangani dan meneutralkan masalah yang mereka hadapi,” katanya. Yen Chew berkata, bagaimanapun, semasa PKP, program di rumah panjang ditangguhkan dan anggota wanita hanya dapat mengagihkan bantuan makanan kepada mereka yang terjejas.

“Kami sekarang merancang untuk kembali lagi, iaitu dari pintu ke pintu dan mengadakan sesi bertemu rakyat tidak lama lagi,” ujarnya.

Beliau turut berkata, sebagai sebahagian strategi berkempen, sayap wanita telah merancang untuk melaksanakan program kesedaran untuk para pengundi, terutama pada pengundi wanita bahawa pentingnya suara mereka di Dun dan Parlimen.

“Kami berdiri teguh di belakang kepemimpinan parti dan GPS. “Kami semua teguh bahawa lapan kerusi Dun yang diperuntukkan kepada kami adalah keputusan kolektif berdasarkan perjanjian mengenai pembahagian kerusi di antara parti komponen.

“Lapan kerusi itu ialah Marudi, Bakelalan, Batu Danau, Tasik Biru, Bekenu, Pakan, Julau dan Krian.

“Bagaimanapun, kami mengharapkan pencaturan yang lebih baik dan menggembirakan serta menunggu lebih banyak peruntukan lain yang akan diberikan kepada calon PDP pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya.