SIBU: Ketua Menteri berkata, banyak lagi projek bakal dilaksanakan di bawah Rancangan Malayska Ke-12 di bahagian ini.

Antaranya ialah menaik taraf Jalan Kong Yit Khim kepada jalan raya berkembar yang menghubungkan  di antara Jambatan Durin dengan Jambatan Lanang.

Juga jalan baharu sembilan kilometer yang menghubungkan Kemuyang dengan Jalan Teku-Pasai Siong.

Jambatan Durin akan meghubungkan daerah Kanowit, Kapit, Song dan sekitarnya manakala Jambatan Lanang akan menghubungkan Sarikei, jalan pesisir dan ke Kuching.

Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, yang penting, kerajaan sentiasa berusaha menunaikan janjinya dan seterusnya melaksanakan projek demi manfaat dan kepentingan rakyat.

“Setelah siapnya projek jalan raya berkembar menghubungkan Sarikei dari Jambatan Lanang, masa perjalanan dari Kuching ke Sibu akan memakan masa kira-kira tiga jam,” kata  beliau kepada media di sini, Rabu.

Abang Johari dalam lawatan kerja rasmi ke sini dengan meninjau beberapa projek yang dilaksanakan.

“Sekarang janji-janji saya kepada penduduk Sibu telah dapat dilihat dan ia berjalan dengan baik,” katanya.

“Pada RMK-12 kita menjangkakan lebih banyak projek lain dilaksanakan untuk Sibu,” jelas beliau lagi.