SIBU: Ketua Menteri berkata janjinya kepada penduduk Sibu tiga tahun lepas telah dikotakan.

Datuk Patinggi Abang Johari berkata, antara projek berkenaan ialah membina Jalan Kong Yit Khim-Sibu Jaya,  sedang dilaksanakan, dan dijangka bakal merancakkan lagi sektor prasarana di negeri ini.

“Kunjungan saya ke Sibu adalah untuk melihat sendiri perkembangan projek yang saya janjikan dulu,” katanya.

“Kita mahu Sibu menjadi  tempat menarik untuk menghubungkan dengan kawasan pedalaman,’ jelasnya.

Beliau berkata demikiian pada sidang media selepas meninjau Projek Rumah Spektra Permata (RSP) di Jalan Kemuyang di sini, Rabu.

Jelas Abang Johari, projek itu dilaksanakan demi manfaat penduduk Sibu, sekali gus dapat meningkatkan ekonomi penduduk tempatan.

Katanya, Sibu Jaya, bandar satelit, bakal berkembang pesat selepas siapnya projek jalan dari bandar itu ke Jalan Kong Yit Khim.

Jelasnya, projek yang membabitkan kos RM100 juta itu dijangka siap menjelang November 2021.

Mengenai RSP di Jalan Kemuyang, katanya, projek tersebut melibatkan 813 lot dan 110 unit rumah yang dilaksanakan Perbadanan Pembangunan Perumahan.