KUALA LUMPUR: Kakitangan dan pelanggan United Overseas Bank (Malaysia) Bhd (UOB Malaysia) dari seluruh Bank berjaya mengumpul RM300,000 dalam sebulan untuk Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB. Dana yang dikumpulkan akan membantu meringankan beban kewangan masyarakat rentan menghadapi cabaran luar biasa akibat wabak ini.

Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB ini merupakan satu inisiatif di bawah Program bantuan COVID-19 #UnitedForYou Kumpulan UOB yang menunjukkan komitmen jangka panjang Bank untuk membantu masyarakat menghadapi masa yang mencabar ini.

Penerima Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB di Malaysia termasuk Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide Malaysia, Yayasan Dignity for Children dan World Vision Malaysia.

Dana ini akan diagihkan sama rata kepada ketiga-tiga pertubuhan amal tersebut dalam usaha membantu lebih 25,000 kanak-kanak kurang bernasib baik, terutamanya kanak-kanak daripada keluarga rentan di kawasan bandar dan luar bandar, isi rumah ibu bapa tunggal dan masyarakat yang menghadapi cabaran dari segi sosioekonomi.

Ketiga-tiga pertubuhan amal ini akan menggunakan wang sumbangan untuk membeli makanan segar, makanan berkhasiat, kelengkapan dandanan diri dan barangan kesihatan yang penting seperti pelitup muka pembedahan dan pensanitasi tangan untuk kanak-kanak tersebut.

Sebahagian daripada dana juga akan digunakan untuk membantu membeli buku kerja, alat tulis, dan data internet bagi membantu lebih 1,800 pelajar kurang bernasib baik meneruskan pendidikan dalam talian mereka melalui pembelajaran jarak jauh.

Encik Wong Kim Choong, Ketua Pegawai Eksekutif, UOB Malaysia, berkata, “Di UOB Malaysia, kami prihatin tentang komuniti kami dan sentiasa menyumbang kepada golongan kurang bernasib baik, terutamanya apabila mereka risau tentang punca pendapatan, kesihatan dan keselamatan mereka.

Wong Kim Choong,

Kesan pandemik ini sungguh meluas dan akan terus mempunyai kesan berpanjangan terhadap semua golongan masyarakat, terutama kanak-kanak dan keluarga daripada latar belakang sosioekonomi yang mencabar.

Melalui Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB ini, kami berharap dapat membantu golongan kanak-kanak rentan dan keluarga mereka dengan menyediakan keperluan harian yang diperlukan dalam tempoh yang sukar ini.”

Sepanjang bulan Mei, Kumpulan UOB menjalankan usaha pengumpulan dana secara global di 18 pasarannya iaitu; Australia, Brunei, Kanada, tanah besar China, Hong Kong, India, Indonesia, Jepun, Korea, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Vietnam.

Encik Darick Wong, Pengarah Negara Persatuan Kebajikan HOPE Worldwide Malaysia, berkata, “Sejak tercetusnya COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kebanyakan keluarga yang berpendapatan rendah telah kehilangan pekerjaan mereka akibat wabak ini dan tidak mampu memberi makan kepada keluarga mereka.

Kami berbesar hati atas sumbangan UOB Malaysia yang menyokong usaha kami untuk membantu golongan yang paling terjejas oleh wabak ini. Melalui dana ini, kami dapat menyediakan makanan dan bekalan kepada kanak-kanak tersebut dan juga keluarga mereka di samping menolong mereka bertahan sehingga dapat menjaga diri mereka sendiri apabila wabak dibendung.”

Secara keseluruhan, kakitangan dan pelanggan UOB merentasi rangkaian global Kumpulan berjaya mengumpul lebih RM5 juta (S$1.65 juta) dalam tempoh sebulan untuk Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB.

Dana Bantuan COVID-19 Heartbeat UOB merupakan susulan kepada inisiatif lain Kumpulan UOB dalam tempoh tiga bulan terakhir untuk membantu meringankan beban dan tekanan yang dihadapi kumpulan rentan dalam masyarakat.

Salah satu inisiatif tersebut ialah My Digital Space UOB, program pendidikan yang bertujuan merapatkan jurang digital kanak-kanak kurang bernasib baik di seluruh rantau ini dengan menyediakan peralatan pembelajaran digital yang terdiri daripada komputer riba baru dan juga sumber pembelajaran dalam talian untuk setiap kanak-kanak.