KUALA LUMPUR: Kerajaan PN yang ada hari ini begitu fokus terhadap tujuan sebuah kerajaan yang ditubuhkan, iaitu untuk menguruskan sebuah negara dengan baik untuk membawa kemakmuran kepada negara, kata Ketua Penerangan PAS Kamaruzaman Mohamad.

“Rakyat menukar sebuah kerajaan yang rakus, biadab, mengancam Perlembagaan Negara, kepada sebuah kerajaan yang diurus dengan begitu baik, yang mana menjadikan agenda kebajikan rakyat sebagai keutamaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Rakyat begitu berpuas hati dengan tindakan kerajaan memberi bantuan demi bantuan untuk membantu rakyat menghadapi kemelesetan akibat daripada wabak COVID ini.

“Jadi ini menunjukkan bahawa hari ini insya-Allah 22 bulan Kerajaan Pakatan Harapan berbanding dengan 100 hari Kerajaan Perikatan Nasional, rakyat telah pun memberikan jawapannya insya-Allah,” ujarnya.

“Kita menyaksikan 22 bulan yang penuh dengan ketidaktentuan, 22 bulan seolah-olah hilang kedaulatan undang-undang. Bayangkan selepas Kabinet ditubuhkan, berlaku kejutan apabila seorang Menteri mengeluarkan pekeliling dalam bahasa Mandarin.

“Tidak pernah berlaku dan ia jelas bertentangan dengan Akta Bahasa Kebangsaan. Kita melihat insiden demi insiden, bagaimana kita melihat tidak pernah berlaku dalam sejarah, ahli parti politik menahan kereta peronda polis untuk disiasat.

“Kita melihat penghinaan terhadap Islam berlaku begitu berleluasa dalam media sosial. Yang di-Pertuan Agong dan institusi istana dihina secara terbuka dalam media sosial seolah-olah negara ini tiada undang-undang yang dipertahankan,” ujarnya.

Tegas Kamaruzaman lagi, selama 22 bulan juga kemukanya, tekanan berlaku secara begitu sistematik terhadap teras perlembagaan, antara yang besar ialah cubaan kerajaan untuk mengiktiraf ICERD di mana dibuat secara terancang oleh golongan anti Perlembagaan Persekutuan.