BEIJING: Penyelidik China memulakan percubaan tahap kedua bagi potensi vaksin Covid-19 ke atas manusia, umum Institut Biologi Perubatan di Akademi Sains Perubatan Cina (IMBCAMS).

Mengutip Reuters, usaha itu dilakukan untuk menilai dengan lanjut keberkesanan dan keselamatan penggunaannya.

Lebih 10 vaksin ke atas manusia sedang diuji secara global, dengan WHO memberi amaran pandemik virus korona itu semakin pantas merebak dan dunia berada di fasa baharu dan berbahaya.

Namun, belum ada percubaan vaksin yang melepasi ujian klinikal fasa ke-3 pada skala  besar, iaitu satu langkah yang perlu sebelum mendapat kelulusan pengawal selia untuk penjualannya.

IMBCAMS pada Sabtu memulakan ujian fasa ke-2 ke atas manusia, yang merupakan antara enam vaksin berpotensi yang sedang diuji oleh saintis China ke atas manusia.

Kajian itu merupakan susulan fasa pertama yang sedang berlangsung yang mengambil kira-kira 200 peserta sejak Mei, kata institut itu pada Ahad di laman media sosialnya.

Percubaan fasa ke-2 menentukan dos suntikan dan terus menilai sama ada vaksin berpotensi itu mampu mencetuskan tindak balas imun dengan selamat dalam tubuh orang yang sihat.

IMBCAMS berkata pihaknya menjangkakan menggunakan loji khas untuk menghasilkan satu vaksin virus korona tahun ini untuk mempersiapkan bekalan vaksin China untuk masa depan.

Dijangka hujung 2020 ini, golongan yang mempunyai keperluan khas dapat menggunakan vaksin tahap eksperimen dalam keadaan mendesak, kata Dr Gao Fu, pengarah Pusat Pengendalian dan Pencegahan Penyakit China, bulan lalu.