JAKARTA: Media Indonesia baru-baru ini heboh dengan kes lelaki menceraikan isterinya selepas hanya dua hari berkahwin.

Mereka berkenalan secara dalam talian dan lelaki malang itu mendapati isterinya seorang lelaki.

Lelaki dikenali sebagai Muh, 31, berkenalan dengan isterinya Mita, melalui akaun Facebook kira-kira sebulan lalu.

Setelah berkenalan lebih intim melalui dalam talian, mereka bersetuju berjumpa. Kali pertama berjumpa, Muh mendakwa perwatakan Mita lemah lembut seperti wanita asli, malah suaranya lembut dan tidak garau.

Muh memberitahu dia jatuh cinta serta-merta dengan Mita, dan selepas beberapa minggu Muh melamar wanita itu.

Mita menerima lamarannya tanpa sebarang bantahan. Bulan lalu Muh membawa ibu bapanya ke rumah Mita untuk menghantar wang hantaran yang 20 bilion rupiah (RM6,100) yang dipersetujui keluarga Mita.

Pada 2 Jun lepas pasangan itu melangsungkan perkahwinan mereka dan wajah Mita tidak menimbulkan sebarang kemusykilan kepada hadirin.

Pada malam pertama perkahwinan mereka, Mita dikatakan enggan menjalinkan hubungan intim dengan Muh, begitu juga pada malam kedua dan ketiga.

Gara-gara kecewa dengan keengganan isterinya, Muh mula menyiasat latar belakang Mita dan terkejut sebaik sahaja mengetahui dia rupa-rupanya lelaki.

Mita yang menyedari tembelangnya pecah melarikan diri dari rumah.

Selepas memberitahu keluarganya tentang Mita, Muh menceraikannya serta-merta.

Dia juga membuat laporan polis dan mendakwa ditipu oleh Mita. Polis berjaya memberkas Mita dan setelah disoal siasat nama lelakinya ialah Adi.

Perkahwinan Muh dan Mita memecah rekod sebagai perkahwinan paling singkat pernah direkodkan di Lombok barat.