Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi kata dua kepada PKR dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Calonkan beliau sebagai Perdana Menteri atau putuskan hubungan.

Oh, ramai yang terkejut dengan amaran yang diberi oleh bekas Pengerusi Bersatu dan perdana menteri dua kali itu.

Mahathir mengancam untuk menamatkan kerjasamanya dengan PKR jika parti itu terus tidak bersetuju pencalonannya bagi jawatan perdana menteri, sebaliknya akan mencari jalan lain untuk menjadi perdana menteri untuk kali ketiga.

Bagaimanapun, Mahathir berkata bahawa beliau akan terus bekerjasama dengan DAP dan Amanah kerana kedua-dua parti itu menyokongnya sebagai calon perdana menteri.

Kata-kata itu diucapkannya dalam wawancara dengan sebuah akhbar Cina terkemuka.

Anda jangan main-main dengan lelaki yang akan menyambut ulang tahun ke-95 bulan depan.

Mahathir terkenal sebagai pemimpin yang degil, punya pendirian kuat dan sukar mengubah keputusan apabila keputusan sudah dibuat.

Mahathir yang luka dan diperlekeh egonya akan bangkit bagai singa lapar dan singa luka.

“Saya tidak akan bekerjasama dengannya (Anwar) lagi kerana dia tidak mahu bekerjasama dengan saya. Saya perlu mencari cara lain untuk menjadi perdana menteri. Mungkin ada beberapa cara lain,” katanya.

Kelihatannya dengan apa-apa cara Mahathir mahu menjadi perdana menteri sekali lagi.

Seolah-olah 22 tahun berada di kerusi itu pada zaman BN dan 22 bulan pada zaman PH, tidak mencukupi bagi beliau.

Mahathir menjadi perdana menteri keempat pada Julai 1981 hingga Oktober 2003, dan perdana menteri ketujuh pada Mei 2018 hingga Mac 2020.

Bagi ramai yang tidak memahami psikologi Mahathir, memang itu sesuatu yang aneh. 

Jika ahli parlimen Langkawi itu benar-benar mengambil tindakan sedemikian, ini bermakna beliau mengambil pendekatan berkerat rotan berpatah arang. 

Jika tindakan itu diambil, akan berlaku kalah jadi arang, menang jadi abu bagi PH.

Sebenarnya, memang dua ekor singa atau harimau tidak boleh berada di dalam gua yang sama.

PH kini terdiri daripada PKR, Amanah, DAP dan lima ahli parlimen Bersatu yang berpecah, selain disokong Warisan dari Sabah.

Kalau betul Mahathir mengambil tindakan nekad dan drastik itu, bermakna PH akan berpecah dan impian mereka untuk kembali berkuasa hanya tinggal impian.

Mahathir dikatakan bersedia untuk meninggalkan PH Plus sekiranya pilihan untuk menjadi perdana menteri selama enam bulan sebelum menyerahkan kuasa kepada Anwar yang akan menjadi timbalannya dalam tempoh itu, gagal.

Mahathir berkata beliau perlu dicalonkan kerana hanya beliau dapat menarik pengundi Melayu. Ini satu alasan aneh. Bagaimana sebuah parti seperti Bersatu yang kini bagai melukut di tepi gantang dapat menarik pengundi Melayu dalam PRU akan datang? Mahathir mendakwa PKR, parti pelbagai kaum tidak akan dapat berbuat demikian.

Mahathir juga menolak cadangan Anwar  untuk dilantik sebagai menteri mentor ala Lee Kuan Yew di Singapura suatu ketika dahulu selepas meletakkan jawatan sebagai perdana menteri. Lee dilantik sebagai menteri mentor selepas berundur daripada jawatannya selepas  berada di kerusi itu selama 34 tahun.

“Tidak, saya tak akan terima,” kata Mahathir seperti dipetik Sin Chew Daily.

“Berdasarkan pengalaman saya, apabila saya cuba beri nasihat kepada perdana menteri, mereka akan tolak atau enggan dengar, seperti Abdullah Ahmad Badawi, Najib Razak dan kini Muhyiddin Yassin.

“Perdana menteri ingin tunjukkan yang dia yang berkuasa dan semua idea datang daripadanya. Dia ingin meninggalkan legasi politik.

“Dia tak boleh kata legasi politiknya datang daripada Mahathir,” kata ahli politik  itu.

Kata-kata ini menggambarkan apa yang ada dalam kepala Mahathir dan bagaimana dia berfikir.

Mahathir fikir dia punya hak mutlak untuk menjadi penasihat perdana menteri.

Mahukah Mahathir diberi nasihat oleh bekas perdana menteri ketika dia berada di kerusi itu? Bagaimanakah perasaannya?

Masalah Mahathir ialah hanya dia yang betul, dan dia hanya lihat dari perspektifnya sahaja.

Dalam wawancara dengan Channel News Asia yang berpangkalan di Singapura,  Anwar bertegas bahawa Mahathir tidak seharusnya menjadi perdana menteri buat kali ketiga, namun terbuka untuk Mahathir dilantik ke jawatan senior dalam kabinet.

“Pada pandangan saya beliau (Mahathir) sudah menjadi perdana menteri dua kali. Sudah masanya untuk kita melangkah ke depan.

“Saya tegaskan bahawa ia bukan isu personaliti. Ia adalah mengenai peluang untuk pemulaan baru untuk negara ini. Malaysia berhak mendapat yang lebih baik. (Ada) begitu banyak kekecewaan politik sekarang,” katanya seperti dipetik stesen televisyen itu.

Hakikatnya, Mahathir dan Anwar yang punya hubungan benci tapi rindu saling memerlukan untuk membentuk majoriti di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, kini mereka  dalam kebuntuan berhubung siapa yang menjadi perdana menteri jika usaha PH Plus itu berjaya. Kerajaan PH runtuh pada akhir Februari lalu susulan kegagalan mereka menyelesaikan isu peralihan kuasa yang kemudiannya menyaksikan Mahathir meletak jawatan sebagai perdana menteri.

Kemudian Presiden Bersatu  Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa keluar parti itu daripada gabungan untuk membentuk kerajaan bersama-sama Muafakat Nasional yang terdiri daripada UMNO dan PAS.

Dalam krisis susulan isu calon perdana menteri itu, DAP dan Amanah menyokong Mahathir manakala PKR bertegas mahukan Anwar yang sudah dikecewakan Mahathir sebelum ini. Malah, Anwar pernah dipecat Mahathir pada 1998 sebagai timbalan perdana menteri.

Menurut veteran DAP  Lim Kit Siang, gesaan kedua-dua parti agar Mahathir diberi tempoh mengetuai kabinet – selama enam bulan – dibuat kerana berpendapat ia  cara paling pasti untuk membawa Anwar menjadi perdana menteri.

“DAP dan Amanah tidak pernah mengetepikan Anwar demi memihak kepada Mahathir, kerana ia (pelan peralihan kuasa itu) adalah cara paling pasti untuk Anwar menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan  semalam.

Jelas Lim, jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Lim berharap mereka tidak melakukan kesilapan sama, khususnya berkenaan peralihan kuasa.

“Persoalan berkenaan jawatan perdana menteri yang diselesaikan dengan cara peralihan kuasa mengikut tempoh enam bulan, Mahathir menjadi perdana menteri kesembilan dan yang ke-10 Anwar. 

Memang menjadi azam kuat PH ketika ini untuk kembali berkuasa dengan menumbangkan PN. Mahathir pernah berusaha mengemukakan undi tidak percaya terhadap Muhyiddin sebelum ini.

Formula menggabungkan Mahathir – Anwar sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri dianggap dapat merealisasikan usaha berkenaan.

Tetapi dengan pergeseran terbaharu antara Anwar-Mahathir ketika ini, masih adakah sinar di hujung terowong bagi PH untuk kembali berkuasa. Atau kedua-dua pemimpin itu akan membawa haluan masing-masing dan kembali menyambung permusuhan selama lebih 20 tahun?