Krisis yang melanda PKR baru-bari ini menyebabkan pemimpin dan ahli akar umbi mengambil tindakan drastik dengan keluar daripada parti yang ditubuhkan lebih 20 tahun lalu itu.

Pemimpin pengasas seperti Baru Bian yang pernah menjadi Pengerusi PKR Sarawak tidak lagi bersama-sama parti, manakala yang lain seperti ahli parlimen Saratok  Ali Biju dan Adun Batu Lintang See Chee How juga sudah tidak lagi bersama-samanya.

Banyak pemimpin cawangan  kecewa dengan kegagalan kepemimpinan di peringkat pusat.

Kegagalan Anwar menjadi Perdana Menteri menambahkan lagi luka di dada.

Hakikatnya, perpecahan antara puak pimpinan presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjerumuskan parti itu ke dalam kancah konflik yang tenat terutamanya di Sarawak.

Parti yang dilihat berpotensi untuk mengukuhkan kedudukannya dalam pilihan raya negeri akan datang, kini dijaring 1001 persoalan.

Mampukah PKR kembali kepada kedudukan asal sekurang-kurangnya  seperti dalam pilihan raya lalu?

Atau ia akan menjadi melukut di tepi gantang?

Terbaharu 25 ahli PKR di Saratok meletakkan jawatan.

Saratok merupakan kubu kuat PKR di bawah Ali Biju, tetapi kini tanpa Ali, kedudukannya dikatakan goyah.

Hakikatnya, tanpa Ali, masa depan PKR  Saratok begitu kelam dan kusam.

Adakah Ali akan bertanding sebagai calon Bebas di DUN Krian atau beliau akan menyertai mana-mana parti politik dalam GPS?

Ali dikatakan berada dalam dilema disebabkan GPS dan PN kini adalah bersahabat.

Namun, bagi pengerusi PKR Sarawak Larry Sng seperti dipetik media, tindakan beberapa pemimpin dan ahli di cawangan, termasuk di Saratok bukanlah sesuatu yang mengejutkan atau di luar dugaan. 

Disebabkan Ali sudah keluar parti, maka tidak mengejutkan penyokong beliau juga mengambil tindakan yang sama.

Larry mendakwa terdapat 2,900 ahli PKR di Saratok.

Katanya, dalam tempoh empat bulan lalu, sekitar 200 ahlinya telah keluar parti, namun lebih daripada 800 orang telah menyertai parti itu.

Persoalannya adakah benar PKR masih kukuh di Sarawak seperti didakwa ahli parlimen Julau itu?

Ujian pertama sama ada PKR masih kuat atau tidak adalah prestasinya dalam pilihan raya negeri akan datang.

Jika PKR dapat memenangi sekurang-kurangnya tiga kerusi, seperti pada pilihan raya 2016, bermakna benarlah seperti didakwa. 

Jika tidak, ini bermakna, Larry perlu melakukan sesuatu.

Tugas berat menanti beliau untuk membuktikan PKR di bawah pimpinannya adalah cemerlang, apatah lagi kini ia punya pesaing ketat.

PSB di bawah pimpinan Datuk Seri Wong Soon Koh dilihat sebagai pencabar utama GPS dalam PRN  Sarawak nanti, bukannya PKR.