KUCHING: Kluster persidangan gereja di Kuching yang dikesan sejak 15 Mac lalu telah berakhir.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 2,751 individu telah disaring, manakala 191 kes didapati positif Covid-19 membabitkan kluster tersebut, setakat hari ini.

Kata beliau, kluster tersebut membabitkan sehingga lima generasi dari pelbagai kawasan di negeri ini dan kini kluster berkenaan telah sampai ke pengakhirannya.

“KKM ingin mengucapkan syabas kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (JPBS) serta semua petugas yang telah memberikan perkhidmatan masing-masing dalam segala aktiviti berkaitan kluster ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Jelas Dr Noor Hisham, 12 kes daripada kluster tersebut dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), selain terdapat tiga kematian.

Sementara itu, tiada kes positif Covid-19 direkodkan di negeri ini hari ini.

Jumlah yang dijangkiti setakat ini ialah 569 kes dengan 17 kematian.