KETIKA kemelut memilih calon Perdana Menteri dalam  PH berlaku, saya cuba meneliti semula semua buku tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim di rak buku saya.  Begitu banyak buku telah ditulis tentang Anwar. 

Sekurang-kurangnya terdapat 20 buku mengenai Presiden PKR itu, termasuk dua yang ditulis oleh Anwar sendiri, iaitu Gelombang Kebangkitan Asia dan Anwar Ibrahim Menangani Perubahan. 

Kebanyakan buku berkenaan adalah sekitar zaman gelora reformasi dan pemecatan ahli parlimen Port Dickson itu sebagai timbalan Perdana Menteri kerana didakwa terbabit dalam  kes liwat dan salah guna kuasa. Anwar bagaimanapun menegaskan dakwaan itu direka oleh Mahathir dan sekutunya.

Susulan itu, gelombang reformasi tercetus sehingga 50,000 rakyat  ibu kota untuk mendengar ucapan berapi-api Anwar pada 20 September 1998. 

Polis telah menahan Anwar di rumahnya, dan kemudian beliau dibawa ke Bukit Aman. Di situ Ketua Polis Negara Tan Sri Rahim Noor telah membelasah Anwar sehingga matanya lebam. 

Mengimbas balik saat berkenaan, Dalam Warkah Dari Penjara, Anwar mencatatkan: “Pukulan yang saya terima amat kuat dan kencang sekali dan ditujukan di muka, di kepala dan di leher. Saya mendapat kesan bahawa tujuannya ganas dan untuk merosakkan.”

Gambar berkenaanlah kemudiannya digunakan dalam poster pilihan raya Keadilan pada 1999. Di  sebalik kemarahan rakyat, BN tetap memenangi 148 daripada 193 kerusi, tetapi undi popular menjunam kepada 56 peratus.

Untuk memahami pemikiran Anwar dan ujian politik yang pernah diharunginya, anda perlu membaca kesemua buku berkenaan, termasuk buku Lawan Tetap Lawan: Kisah Perjuangan Rakyat Menuntut Keadilan. 

Kejatuhan Anwar pada 1998 dikaitkan dengan penerbitan buku 50 Dalil Mengapa Anwar Tidak Dapat Jadi PM tulisan  Khalid Jafri.  Buku itu dimasukkan di dalam beg perwakilan ketika UMNO bersidang. 

Ketika isu skandal seks membabitkan seorang pemimpin PKR meledak tahun lalu, satu lagi buku hampir sama judulnya ditulis, iaitu Mengapa Anwar Tak Boleh Jadi PM. 

Manuskrip itu dilihat mengimbau semula ketika era pertama pentadbiran Dr Mahathir  sebagai perdana menteri yang menyaksikan buku bertajuk ’50 Dalil Kenapa Anwar Tidak Boleh Menjadi Perdana Menteri’ disebarkan. Seperti buku pertama, buku kedua pula sarat dengan tohmahan dan fitnah. Yang jelas, kedua-dua buku terbabit ditulis oleh penulis upahan dengan niat untuk menjatuhkan imej Anwar.

Politik memang aneh, tetapi lebih aneh lagi ialah ahli politik dan bagaimana mereka menjadikan politik untuk memenuhi kepentingan politik mereka. Benar kata bijak pandai, tiada musuh yang kekal dan tiada sahabat yang abadi dalam politik; yang abadi ialah kepentingan. Itulah yang berlaku antara Anwar dengan Mahathir.

Pertarungan kuasa antara mereka berdua telah mulai tercetus pada  dekad 90-an.  Peristiwa dan kejadian yang berlaku antara 1998 hingga hampir 20 tahun kemudian antara mereka berdua ialah saksi nyata. 

Dari 1982, ketika Anwar dibawa masuk oleh Mahathir ke pangkuan UMNO hingga sekurang-kurangnya awal 90-an, Anwar dan Mahathir ialah sahabat dalam politik.  Ketika itu, dengan kemahirannya berpidato, Anwar menjadi pembela vokal Mahathir.  Namun sekitar 1998 hingga menjelang pilihan raya lalu, selama 20 tahun, mereka bermusuhan. 

Peristiwa berikutan penahanan, pendakwaan dan pemenjaraan Anwar  dari 1998 hingga 2004 dan untuk kali kedua selepas itu, masih segar dalam ingatan sebahagian rakyat Malaysia. Anwar disumbat di dalam penjara susulan pemecatan beliau dan kes mahkamah yang mendapati beliau bersalah dalam kes liwat dan salah guna kuasa. Ketika mendekam di dalam penjara, beliau mengakui mempunyai jadual waktu yang mendatar. Namun, Anwar banyak memanfaatkan waktu untuk membaca apa-apa sahaja bahan termasuk buku, majalah, akhbar, poskad dan kad ucapan yang dihantar oleh keluarga dan rakan-rakan dari setiap pelosok dunia.

“Seluruh proses perbicaraan dan pemenjaraan saya adalah jelas satu tindakan politik, satu konspirasi yang melibatkan pemimpin negara yang menyalahgunakan pasukan polis,” kata Anwar dalam Warkah Anwar.

Seperti persahabatan politik sebelumnya yang tidak kekal, permusuhan politik mereka juga demikian. Demi kuasa dan keinginan kembali menjadi Perdana Menteri, Mahathir sanggup  bertemu dengan bekas musuh politik beliau itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 5 September 2016 selepas berlakunya pemecatan pada 1998. 

Mereka bersalam erat dalam pertemuan yang sangat bersejarah itu. Anwar ke mahkamah untuk memfailkan tuntutan mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) dari sudut perlembagaan. Dr Mahathir pula  datang ke mahkamah bersama-sama para penyokong beliau bagi memberikan sokongan kepada Anwar. Mereka bersua muka untuk kali kedua kira-kira 45 minit pada 11 Februari 2017, juga di mahkamah. Mereka melupai sengketa dan dendam lama mereka demi menumbangkan Datuk Seri Najib Razak dari kerusinya di Putrajaya. Mereka berjaya berbuat demikian apabila BN kalah pada 9 Mei 2018.

“Saya bukan manusia yang akan menyukarkan keadaan. Mengapa beliau mengambil tindakan seperti yang dilakukan dahulu, itu soal lain,” kata Anwar kepada media merujuk kepada tindakan Mahathir sebelum itu.

“Tetapi secara peribadi, saya sudah lama okey dan sudah maafkan dia,” kata Anwar.

“Tun Dr Mahathir takkan datang jumpa saya kalau perkara itu bukan demi kepentingan negara. Beliau orang yang sangat mengasihi negara dan rakyat.

“Beliau merasakan keadaan sudah terlalu teruk, jadi beliau mahu kami berganding tangan, bersatu demi rakyat,” kata Anwar sekitar seminggu selepas kemenangan PH pada Mei 2018.

Kini, perseteruan dan kesangsian Anwar dan parti pimpinannya kembali menyerlah. PKR berkeras tidak mahu Mahathir. Mereka menolak Mahathir dan mahukan Anwar menjadi calon perdana Menteri. 

Puncanya, Mahathir pada usia  95 tahun  masih berusaha untuk menjadi perdana menteri sekali lagi. Bayangkan, Mahathir yang tanpa parti  masih mengidam untuk menjadi perdana menteri. Tempoh 22 tahun 22 bulan sebagai perdana menteri bagai tidak memuaskan hati beliau.

Ini sebagai langkah mengambil alih kerajaan daripada Perikatan Nasional yang diterajui  Tan Sri Muhyiddin Yassin. Hujah Mahathir dan penyokongnya ialah, hanya mantan perdana menteri dua kali itu dapat menarik sokongan untuk menumbangkan PN. 

Anehnya, mengapa tidak Mahathir memujuk yang lain untuk menyokong Anwar, kalaupun beliau bukan calon perdana menteri? 

Persoalannya, jika itu alasannya, apakah yang akan terjadi selepas Mahathir tidak lagi menjadi perdana menteri? Adakah ahli parlimen dan pemimpin politik akan terus menyokong Anwar? 

Yang pasti, keadaan politik tidak akan stabil, sebaliknya akan terus bergelora. Dari satu segi, apakah yang dapat dilakukan oleh Mahathir dalam tempoh enam atau 12 bulan? Ya, apa yang dicapai oleh PH dan Mahathir dalam tempoh 22 bulan memerintah?

 

Mahathir dikatakan mencadangkan agar diberi tempoh memegang jawatan perdana menteri selama enam hingga 12 bulan sekiranya mereka berjaya mengambil alih kerajaan.Langkah beliau itu menyebabkan perselisihan dengan sekutunya dalam PH.

Di pihak Anwar dan para penyokongnya, ada keraguan terhadap bekas perdana menteri itu untuk melepaskan jawatan mengikut tempoh yang ditetapkan, sekiranya PH dan sekutu mereka berjaya membentuk kerajaan baharu. Mereka tidak mahu pisang berbuah dua kali. Warisan, DAP dan Amanah nampaknya menyebelahi Mahathir, sementara PKR memihak kepada Anwar.

Dalam wawancara dengan Malaysiakini,  Mahathir memberi jaminan bahawa beliau sentiasa menunaikan janjinya.

“Kalau sampai masa saya janji, saya akan tunaikan janji.

“Boleh semak saya punya kelakuan sejak saya jadi perdana menteri bahkan sebelum itu, saya tak pernah mungkir janji,” katanya.

Sekali lagi, Mahathir menekankan bahawa penting untuk memastikan PH Plus mengalahkan PN terlebih dahulu, dengan mengatakan bahawa mereka mempunyai “banyak kerja” yang harus dilakukan.

Bagi Mahathir, hanya dia yang dapat menjadi perdana menteri dan dapat menjalankan tugas dan menyelesaikan masalah negara. Orang lain, tidak. Beliau juga berkata, PH Plus mempunyai tugas tambahan untuk membetulkan kesalahan yang dilakukan pemerintahan Muhyiddin.

Sedangkan hakikatnya, Mahathir juga banyak membuat kesalahan dan tidak terlepas daripada kontroversi sewaktu beliau memerintah. Kesalahan Mahathir perlu dibetulkan. Tugas ini terletak di tangan Mahyuddin.