KUCHING: Parti Rakyat Sarawak (PRS) akan  bertanding di semua kerusi DUN i dan Parlimen yang secara tradisi ditandingi parti itu dalam pilihan raya negeri atau pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Demikian bayangan dan penegasan dibuat Presidennya Tan Sri Dr James Jemut Masing selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PRS di ibu pejabat parti semalam.

Bagi kerusi DUN, PRS  dijangka  bertanding  di  11 kerusi iaitu Baleh, Murum, Belaga, Pelagus, Ngemah, Kakus, Tamin, Samalaju, Batang Ai, Balai Ringin dan Bukit Begunan.

Manakala  bagi kerusi parlimen iaitu Hulu Rajang, Kanowit, Lubok Antu, Julau, Selangau dan Sri Aman.

Dalam PRU-14, PRS kalah di tiga kerusi, iaitu Julau, Selangau dan Lubok Antu sekali gus menyumbang kepada kekalahan 12 daripada 31 kerusi yang ditandingi BN.

Masing menzahirkan  keyakinan bahawa parti pimpinannya dapat mempertahankan semua kerusi yang ditandingi PRS di bawah lambang GPS dalam pilihan raya akan datang.

Kenyataan itu dibuat di sebalik spekulasi bahawa PRU dan PRN Sarawak akan diadakan serentak seawal-awalnya suku akhir thaun ini atau suku pertama tahun deepan.

Masing menjelaskan  semua penyandang sama ada bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimen akan mempertahankan kerusi mereka.

Namun, kata Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri,  muka baharu akan ditampilkan bagi  kerusi yang  calon PRS tewas kepada pembangkang dalam pilihan raya lalu.

“PRS yakin mampu mengekalkan semua kerusi. PRS harus mampu mengekalkan semua kerusi,” ujarnya.