Awang Azman Awang Pawi

Politik negara kembali bergolak selepas Tun Dr Mahathir Mohamad hilang kedudukan sebagai pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia.  Anaknya Mukhriz Mahathir  pula hilang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah selepas usaha dilakukan oleh PAS menumbangkan kerajaan PH campuran  di Kedah.  

Peluang Mahathir untuk mendapat kembali jawatan tersebut agak sukar dan mengambil masa lama jika dapat dilakukan. Mahathir cuba mendapatkan kembali jawatan tersebut melalui saluran undang-undang di mahkamah. Sudah tentu memerlukan tempoh yang panjang dan belum tentu kemenangan berpihak kepadanya.

Pada masa yang sama, usaha Mukhriz untuk bertanding melawan Muhyiddin Yassin untuk jawatan presiden juga menemui jalan sukar, khususnya apabila sudah tergugur secara automatik keahlian tersebut. Kalau dapat bertanding sekali pun, jalan sukar, tanpa jawatan Menteri Besar tidak ada mekanisme jentera parti dapat digerakkan secara efisien berbanding lawannya ialah pemegang jawatan Perdana Menteri. 

Sudah tentu akan menjadi sejarah sekiranya mampu mengalahkan Perdana Menteri yang sedang berkuasa  sekali pun jika keahlian Mukhriz masih sah dalam Bersatu. Yang paling jelas ialah Bersatu tidak lagi bersama Pakatan Harapan. Serpihan Bersatu yang hanya mempunyai 5 wakil rakyat hanyalah berfungsi sebagai Plus.

DAP dan Amanah sokong Mahathir

PH kini berada dalam landasan titik lemah terendah apabila terdapat perebutan jawatan calon Perdana Menteri ketika kerajaan masih mempunyai perdana menteri dan parlimen belum bubar. 

Yang menariknya, komponen PH, iaitu DAP dan Amanah  tidak menyokong Anwar sebagai calon Perdana Menteri, sedangkan  DAP sudah lama bekerjasama dan menjadi sekutu rapat Anwar dan PKR mencecah 20 tahun, berbanding hanya sekitar 2 tahun lebih menjadi sekutu Mahathir.

Ramai melihat sikap DAP dan Amanah berubah akibat terhutang budi Mahathir yang telah memberikan jawatan kabinet yang terbesar dalam kabinet Pakatan Harapan. Mahathir meletakkan Lim Guan Eng menjadi menteri kewangan dan jawatan strategik lain kepada pemimpin DAP termasuk Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan. 

Parti Amanah mendapat 4 jawatan menteri dan 5 jawatan timbalan menteri, meskipun parti tersebut hanya menang 11 kerusi sahaja daripada 27 kerusi parlimen yang dipertandingkan. Sudah tentu usaha kembali berkuasa amat penting bagi Amanah agar terus relevan dalam politik nasional. 

Tanpa kembali memegang tampuk kuasa, sukar untuk parti Amanah untuk mengekalkan  11 kerusi tersebut kerana  kerjasama UMNO dan PAS boleh menyebabkan parti Amanah tewas teruk tanpa kerjasama dengan parti PKR.

Politik tanpa Rasional

PKR membuat keputusan tegas untuk mencalonkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri. Hal ini difahami apabila sudah 2 kali Anwar gagal menjadi Perdana Menteri angkara tindak tanduk dan mainan politik Mahathir.

Kali pertama Anwar dipecat sebagai timbalan perdana menteri, dituduh dengan pelbagai tuduhan, diheret ke mahkamah hingga di penjara lebih 10 tahun, sebelum diampunkan oleh Yang Dipertuan Agong.

Kali kedua, ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri kerajaan PH, Mahathir lebih sanggup meletakkan jawatan sebagai perdana menteri daripada menyerahkan peralihan kuasa kepada Anwar Ibrahim. Apabila Yang Dipertuan Agong mohon dipertimbangkan agar tidak meletakan jawatan, namun Mahathir berkeras meletak jawatan.

Ketika pencalonan Perdana Menteri untuk ambil balik kerajaan daripada Perikatan Nasional, PH tidak pula menggunakan persetujuan sebelum pilihan raya umum, iaitu, selepas Mahathir ialah Anwar sebagai Perdana Menteri. 

Sebaliknya, Pakatan Harapan akibat teruja mengambilalih kerajaan Perikatan Nasional terus membuat formula PH Plus, iaitu PH dengan Mahathir dan serpihan Bersatu dan 9 wakil rakyat Warisan.

Serpihan Bersatu dan Warisan dominan?

Meksipun pada awalnya, komponen PH menyokong Anwar menjadi calon Perdana Menteri, namun selepas perbincangan PH dengan Mahathir dan wakil parti Warisan telah mengubah mengubah pendirian dan membuat opsyen, iaitu calon perdana menteri ialah Mahathir dan timbalan perdana menteri ialah Anwar.

Keputusan ini ditolak oleh PKR kerana tidak mahu sikap Mahathir yang melengah-lengahkan peralihan kuasa oleh Mahathir berlaku sekali lagi seolah-olah secara tersirat tidak mahu Anwar menjadi perdana menteri. PKR tidak mahu perkara ini berlaku kali kali ketiga dan lebih berhati-hati agar tidak terperangkap dengan janji politik dan usaha penolakan Anwar yang dilihat dilakukan secara licik. 

Ketika era Mahathir jadi Perdana Menteri, PKR dapat dipecahkan hingga 10 ahli parlimen keluar dari PKR.  Kini, komponen PH, DAP dan Amanah pula hampir berjaya dipecahkan hingga  menolak sokongan Anwar menjadi calon Perdana Menteri.

Sikap Mahathir terus diragui apabila sepanjang Mahathir melahirkan ketidakpuasan  terhadap Muhyiddin Yassin, Mahathir tidak ada sekali pun mengkritik Azmin Ali dan Pas kerana menumbangkan Pakatan Harapan. Malah dikatakan terdapat pertemuan Mahathir dengan Hadi Awang seminggu sebelum hari raya baru-baru ini. Tindak tanduk Mahathir inilah antara yang meragukan keiklasan Mahathir terhadap usaha menyerahkan kuasakepada Anwar sebagai perdana menteri.

Daripada satu aspek, ramai melihat melihat Dr Mahathir kini tanpa berparti dan hanya ada 5 wakil rakyat sahaja cuba mempengaruhi 91 kerusi.  Maknanya, kuasa tawar menawar Mahathir tidak ada lagi selepas digugurkan keahlian Bersatu.  PH seharusnya lebih bertegas dan mempunyai suara. 

Di peringkat sentiman rakyat, Mahathir dilihat sudah lama berkuasa, iaitu sudah 22 tahun menjadi Perdana Menteri ketika Barisan Nasional berkuasa, dan  22 bulan jadi Perdana Menteri ketika PH memerintah.  Rakyat Malaysia ditawarkan calon Perdana Menteri  yang sudah terlalu lama seolah-olah tidak ada orang lain lebih layak menjadi calon PM dalam kalangan 32 juta rakyat Malaysia.

Sikap Mahathir yang selalu memperlekeh orang Melayu, melabel orang Melayu malas akan menjauhkan orang Melayu terhadap sokongan terhadap Pakatan Harapan.  Namun parti Amanah dan DAP tidak melihat  sensitiviti ini. Malah sikap Mahathir mahu mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menyebabkan orang Melayu terus menolak kepimpinan Mahathir. 

Siapa perlu siapa?

Selagi Mahathir berkeras tidak  mahu beri laluan kepada Anwar akan menyebabkan simpati, protes kalangan rakyat termasuk undi Cina melihat DAP kini sudah berubah setelah berpuluh tahun menolak Mahathir.  Hal ini akan menyebabkan PH akan lebih mudah tewas pada pilihan raya umum nanti.

Ramai tidak dapat menerima rasional Mahathir kini tak berparti akan tetapi cuba jadi Perdana Menteri kembali. Tidak ada dalam sejarah Malaysia, Perdana Menteri yang dilantik tanpa berparti. Dalam konteks ini, Mahathir dan Warisan tidak ada pilihan kerana yang lebih perlukan nyawa politik ialah Mahathir dan Warisan.  Tanpa kerjasama PKR, PH tak akan mempunyai kerusi yang cukup dan tidak kuat untuk berdepan dengan Perikatan Nasional.

PH Plus perlu melihat semula secara  rasional  untuk menangani cabaran ini agar tidak terperangkap akibat terhutang budi kepada Mahathir yang berikan jawatan kabinet kepada Dap dan Amanah hingga dilihat faktor sanggup berubah pendirian.

Pakatan Plus perlu melihat kerjasama ini dari segi jangka panjang untuk tempoh 5-15 tahun dan bukan sekadar untuk beberapa bulan atau setahun dua sahaja kerana impaknya besar terhadap landskap politik negara dan daripada segi integriti kepimpinan politik dan masa depan parti-parti  dan Pakatan itu sendiri.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.