KUCHING: Pemimpin PH diingatkan supaya menjadi pembangkang yang baik demi membantu negara dan  bukannya untuk kepentingan peribadi menjadi perdana menteri atau menteri.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, rakyat telah menyaksikan sendiri prestasi PH dalam tempoh 22 bulan mereka memerintah negara ini.

Katanya, mereka tidak pandai menjalankan tugas sehingga menyebabkan ekonomi negara merudum.

“Kerjalah dengan baik sebagai pembangkang. Jadilah pembangkang yang berwibawa, konstruktif dan dapat membantu negara, bukan untuk kepentingan peribadi menjadi perdana menteri atau menteri,” katanya.

Kenyataan itu dibuat di sebalik krisis yang melanda PH ekoran kegagalannya memuktamadkan calon Perdana Menteri dalam usaha untuk merampas kembali kuasa daripada Perikatan Nasional di bawah pimpinan Tan Sri Mahyuddin Yassin.

DAP, Amanah dan Warisan bertegas mahu bekas Pengerusi Bersatu yang dipecat Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri manakala pKR berkeras mahu Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penyokong Anwar tidak mahu ahli parlimen Port Dickson itu diperdaya untuk kali kedua selepas Mahathir gagal menunaikan janjinya menyerahkan kuasa sehingga PH tumbang pada pertengahan Februari lalu.

Wan Junaidi berharap agar pihak pembangkang menunggu PRU-15 untuk mendapatkan kuasa kembali, tanpa perlu menumbangkan PN yang terbukti menjalankan tugas dengan baik.

“Tunggulah sehingga PRU-15 nanti. Jangan sibuk hendak jadi Perdana Menteri. Sebelum ini, pembangkang sudah diberi peluang, tetapi mereka tak pandai jalankan kerja,” tegasnya.

Terdapat spekulasi bahawa pilihan raya mengejut akan diadakan seawal-awalnya suku akhir tahun ini atau suku pertama tahun depan.