JAKARTA:  Indonesia  pagi ini  berada di tangga   ke-29 dari segi  jumlah kes terbanyak terkena jangkitan Covid-19 memintas Emeriah Arab Bersatu  (UAE) dan Singapura.

Kes positif Covid-19 di Indonesia terus meningkat dengan angka terkini sudah mencecah 45, 029,  selepas tambahan 1,226 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Selain Indonesia, terdapat empat buah negara yang mempunyai kes jangkitan dalam lingkungan 40,000, iaitu Belanda, Ecuador, Emeriah Arab Bersatu, dan Singapura.

Menurut angka Worldometers, 56 lagi kematian berlaku dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan kematian kini berjumlah 2,429  orang.

Angka itu  meletakkan Indonesia di tangga teratas dari segi kematian  dan jumlah kes jangkitan dalam kalangan negara Asia Tenggara, sekali gus memintas  Singapura yang kini  berada di tangga ke-31 dengan  41,883 kes.

Emeriah Arab Bersatu yang  semalam berada di belakang Indonesia kini merekodkan 44, 533 kes jangkitan.

Negara kedua tertinggi mencatatkan kematian di Asia Tenggara ialah Filipina dengan 1,150, termasuk 20  kes kematian terbaharu.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi, diikuti provinsi Jakarta, Jawa Barat, Kalimantan Selatan dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.