SARATOK: Op Dadu yang digerakkan oleh anggota polis dari IPD Saratok berjaya mencekup dua lelaki di Roban yang terlibat dengan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram di kawasan Pekan Roban petang semalam..

Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mordani Tanin mengesahkan perkara tersebut dengan memberitahu serbuan dilakukan anggota dari IPD Saratok bersama anggota Balai Polis Roban pada jam 2.30 petang dan 3.30 petang di dua lokasi berbeza.

“Pihak polis telah membuat serbuan di sebuah kedai di Roban New Bazaar (Snooker) kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram dan telah menangkap seorang lelaki berumur 21 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram.

“Butiran rampasan adalah satu unit telefon bimbit jenama Samsung, enam keping kertas yang bertulis angka 4D haram dan tiga batang pensel.

“Satu lagi serbuan dibuat di sebuah kedai makan juga di Roban kerana dipercayai menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram.Pihak polis telah menangkap seorang lelaki berumur 47 tahun yang juga disyaki menjalankan kegiatan judi penjualan nombor ekor haram,” ujarnya.

Dalam serbuan kedua pihak polis turut merampas satu unit telefon bimbit jenama Nokia,satu unit mesin cetak, dua gulung kertas cetak dan tiga keping kertas yang bertulis angka 4D haram.

Kedua-dua lelaki berkenaan ditahan dan dibawa ke IPD Saratok berserta barangan rampasan untuk siasatan lanjut. Kedua-duanya ditahan di lokap dan akan dipohon tahanan reman pada esok, 21 Jun.