KUCHING: Pembukaan semula tadika pada 1 Julai depan merupakan penyelesaian terbaik kepada ibu bapa yang bekerja. Pakar Kaunseling Samsiah Jayos berkata, perkara itu juga akan membantu mengurangkan tekanan ibu bapa yang kembali bekerja di organisasi masing-masing ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) kini.

“Ibu bapa yang fokus kepada pekerjaan akan membantu meningkatkan produktiviti dan sebagainya. “Ia juga membantu dalam menangani masalah kesihatan mental seperti tekanan yang boleh membawa kepada kemurungan dan burn out dapat dielakkan,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Samsiah Jayos

Bagaimanapun jelasnya, tadika yang kembali beroperasi semula kelak perlu memastikan mereka menjalankan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang telah ditetapkan.

“Terdapat pelbagai faktor yang perlu diambil kira sebelum menghantar semula anak-anak ke tadika. Bagi saya, setiap perkara itu mempunyai kebaikan dan keburukan. “Setiap ibu bapa juga mempunyai justifikasi tersendiri mengikut kemaslahatan keluarga masing-masing dan setiap perkara ini pula perlu dilihat secara case by case.

“Jika ada ibu bapa yang memilih untuk tidak mahu menghantar semula anak ke tadika ketika ini, ia juga pilihan terbaik kerana wabak Covid-19 ini masih belum berakhir.

“Mungkin ibu tidak perlu bekerja atau memilih bekerja dari rumah secara dalam talian atau dengan pendapatan suami sudah memadai untuk menampung kos rumah tangga,” jelasnya yang juga merupakan Kaunselor Kekeluargaan.

Beliau juga menasihati ibu bapa agar memeriksa terlebih dahulu pematuhan operasi tadika termasuk aktiviti nyahkuman dan perkara yang mesti dilakukan mengikut arahan Kementerian Kesihatan Malaysia dan sebagainya.

“Saya juga menasihati mereka (ibu bapa) menghantar anak-anak ke tadika lambat seminggu daripada tarikh mula operasi. Ini sebagai tempoh pemantauan situasi atau SWOT di tadika,” tegasnya.