KUCHING: Seramai 78 jurulatih elit dan 34 pegawai pembangunan sukan di bawah program persediaan SUKMA telah menjalani “Webinar: Basic Anti-Doping” anjuran Perbadanan Sukan Sarawak (PSS), Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) dengan kerjasama Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) dari 17-19 Jun 2020.

Seminar sidang video selama tiga hari itu adalah sebahagian daripada program pendidikan sukan mengenai penyalahgunaan dadah atau bahan larangan dalam sukan serta memahami proses anti-doping bagi atlet Sarawak yang terlibat dalam saringan anti-doping semasa kejohanan atau latihan.

Penglibatan jurulatih elit dan pegawai pembangunan sukan dalam webinar ini juga untuk mendidik dan menyampaikan maklumat serta kepentingan anti-doping dalam sukan kepada atlet.

Antara topik yang telah dikongsikan adalah 11 Kesalahan Peraturan Anti-doping (11RV), Peranan dan Tanggungjawab Atlet/Jurulatih Dalam Anti-doping, Tindakan Kesalahan Doping, Proses Kawalan Doping, Borang TUE, Anti-doping E-platform, Senarai Bahan Larangan Dalam Sukan “(WADA Prohibeted List)” dan Maklumat Platform Menyemak Bahan Larangan Berdasarkan Jenis Produk atau Kandungan Produk.

Ketua Pegawai Eksekutif PSS merangkap Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee berkata seminar tersebut dapat membantu memupuk kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah atau bahan larangan serta kepentingan anti-doping dalam sukan dan semangat kesukanan yang bersih dalam kalangan pengamal sukan di Sarawak.

Dalam kenyataannya, beliau memberitahu program sebegini adalah penting kerana ia memberi peluang kepada semua peminat sukan untuk mendapat maklumat terkini mengenai anti-doping di Malaysia.

Katanya lagi, PSS akan mengadakan banyak lagi seminar sama dengan beberapa ikon dan pakar sains sukan di masa akan datang untuk memberi maklumat terkini tentang perkembangan sukan dan aplikasi sains sukan dalam latihan dan pertandingan.