DEBAK: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meluluskan peruntukan RM30 juta untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di Debak.

Adun Saribas Mohammad Razi Sitam berkata, kejadian banjir kilat di Debak khususnya melibatkan perkampungan Melayu memerlukan tindakan segera.

“Penduduk lelah apabila kejadian banjir kilat berlaku berulang kali sejak dua tahun kebelakangan ini. “Apabila berlaku hujan lebat di kawasan hulu bertembung dengan air pasang besar, pasti menjadi kegusaran.

“Saya sendiri turun padang, melihat senario yang berlaku dan situasi amat menyedihkan. “Hampir kesemua kediaman dilimpahi air, ada yang sampai ke paras pinggang menyebabkan banyak perkakasan rumah rosak dan tidak dapat diselamatkan… saya cukup bersimpati.

“Justeru, baru-baru ini saya membawa perkara ini ke pengetahuan Abang Johari bersama-sama Pengarah Pengairan dan Saliran Sarawak Datuk Chok Moi Soon dan Jurutera JPS Bahagian Betong Bartholomew Emily Ayu.

“Dan, alhamdulillah semalam saya mendapat perkhabaran gembira daripada pihak Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyatakan Kerajaan Sarawak sudah meluluskan RM30 juta untuk melaksanakan projek tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut dan meninjau keadaan di sini, kelmarin. Jelasnya, projek dengan peruntukan RM30 juta tersebut diharap dapat disegerakan pembinaannya.

“Secara ringkas, kerajaan akan membina terusan sepanjang dua kilometer, memotong tanjung di kawasan Kampung Bungey dan Babu, menambah baik sistem perparitan dan pintu air.

“Difahamkan, tanjung Kampung Bungey yang dibuang sepenuhnya akan menjadi kawasan tadahan air yang besar sekali gus menjadi lubuk ikan. “Bagaimanapun untuk kerjakerja awal pada tahun ini, sebanyak RM2.6 juta dahulu disediakan… Insya-Allah setelah semuanya selesai, tahun hadapan akan bermula kerja-kerja berikutnya,” ujarnya.

Razi memohon JPS sebagai agensi pelaksana untuk berhubung terus dengan pihak EPU supaya kerja-kerja awal dapat dimulakan. “Saya tidak mahu projek ini tertangguh kerana Abang Johari dan Kerajaan Sarawak sudah memberi kelulusan… dan projek ini amat diharapkan oleh rakyat Debak.

“Saya bekerja keras untuk melihat projek ini berjaya. Ini perjuangan saya untuk rakyat, demi kesejahteraan semua untuk jangka masa panjang,” jelasnya.

Setiap kali berlaku banjir kilat, lebih 90 peratus kediaman di Kampung Babu, Bungey dan Lalang dilimpahi air yang sudah pasti memudaratkan. Razi dalam pada itu memaklumkan Majlis Daerah Betong (MDB) bersetuju membaiki jalan yang rosak akibat banjir kilat di Kampung Lalang.