KUCHING: Seorang lelaki yang bertugas sebagai pengawal keselamatan ditemui maut di dalam sebuah pondok pengawal di Stadium bola sepak Petra Jaya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani ketika dihubungi Suara Sarawak mengesahkan pihaknya ada menerima kejadian sekitar jam 8.56 pagi.

Beliau mendedahkan mangsa, 31, ditemui dalam keadaan berbaring tidak sedarkan diri ketika cuba dikejutkan oleh rakannya di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan awal pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS) mendapati mangsa telah meninggal dunia.

“Mangsa ditemui oleh rakan yang menggantikan tugasnya pada pagi itu dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikenal pasti.

Jelas Awang Din, mangsa seterusnya dibawa ke HUS untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dedahnya, siasatan lanjut mendapati mangsa yang ditugaskan bekerja 24 jam itu telah berkhidmat selama empat tahun dengan syarikat keselamatan.

Ujarnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Kes masih lagi dalam siasatan polis.