KUCHING: Menyedari  realiti semasa di Malaysia masa kini, kami 115 ilmuwan PhD di negara ini bersatu hati untuk membuat seruan supaya semua golongan rakyat memberi penghormatan dan sokongan penuh kepada kerajaan semasa yang diketuai  Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menterinya untuk mengemudi negara sehingga dikembalikan mandat untuk PRU-15 mengikut peruntukan yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

Golongan terbabit dalam satu kenyataan juga menyeru supaya semua pihak akur kepada sistem politik Malaysia yang berteraskan kedaulatan Raja-Raja, keluhuran perlembagaan dan sistem demokrasi berparlimen serta menghentikan sebarang propaganda dan usaha yang boleh menggugat kestabilan politik demi memastikan kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara terpelihara.

“Menyeru supaya semua pihak mengangkat tinggi nilai-nilai kemanusiaan dan keagamaan, melaksanakan urus tadbir yang baik serta memastikan kontrak sosial dan peruntukan-peruntukan teras Perlembagaan Persekutuan, khususnya identiti nasional kita yang berlandaskan identiti Melayu-Muslim, dipatuhi pada setiap masa,” katanya.

Menyeru supaya semua parti politik yang membentuk kerajaan semasa bergabung secara rasmi di dalam wadah Perikatan Nasional yang perlu didaftarkan bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Golongan ilmuan terbabit dari semua 21 universiti awam (IPTA), empat universiti dan kolej universiti swasta (IPTS) dan Institut Pendidikan Guru (IPG) turut menyeru supaya semua parti politik yang membentuk barisan pembangkang bergabung secara rasmi dalam wadah Pakatan Harapan dan membentuk kabinet bayangannya sendiri bagi membolehkan ia berfungsi dengan lebih berkesan di dalam memainkan peranan semak dan imbang yang sihat dan membina kepada kerajaan semasa.

“Menyeru supaya pihak berkuasa mengambil tindakan yang amat tegas bagi menjaga perpaduan dalam kalangan semua rakyat serta bagi memelihara keamanan dan keharmonian negara, termasuk dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada dan memperkenalkan undang-undang baru bagi menghukum penggugat kestabilan,” katanya lagi.