KUCHING: Rakyat di negeri ini semakin menarik nafas lega.

Mereka semakin merindui tempat ibadat selepas tidak dibenarkan menjalani ibadat di rumah ibadat masing-masing susulan penguatlkuasaan PKP dan PKPB dari 18 Mac hingga 9 Jun lalu.

Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor), Jabatan Ketua Menteri pada Khamis  berkata, jumlah kehadiran maksimum bagi upacara keagamaan di Sarawak kini ditingkatkan kepada 250 orang berbanding 100 orang sebelum ini.

Katanya dalam satu kenyataan, kebenaran itu tertakluk kepada kapasiti ruang rumah ibadat terlibat dengan mengambil kira jarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter.

Bagi rumah ibadat yang berhasrat membuka semula premis mereka esok hari  dinasihatkan untuk melakukannya dengan berhati-hati berdasarkan kemampuan dan tahap kesediaan terhadap pematuhan  garis panduan yang telah ditetapkan. 

Pemakluman itu perlu dilakukan melalui ibu pejabat rumah ibadat masing-masing atau terus kepada Unifor sebelum pembukaan semula ini.

Unifor menerusi satu kenyataan pada 16 Jun lepas membenarkan jumlah maksimum penganut yang boleh menghadiri upacara keagamaan pada satu-satu masa seramai 100 orang dengan pematuhan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Antara inti pati SOP tersebut adalah tidak membenarkan mereka yang bergejala seperti demam, batuk atau sesak nafas, kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas menghadiri sebarang upacara di rumah ibadat, melakukan proses sanitasi sebelum dan selepas upacara ibadat dilakukan serta menjalankan proses pengambilan suhu, penggunaan pelitup muka dan mengisi buku kehadiran jumlah jemaah.