KUCHING: Tiada had masa untuk aktiviti sukan/riadah di Sarawak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kesemua aktiviti sukan yang tidak melibatkan sentuhan fizikal dibenarkan dengan pematuhan SOP.

“Bagaimanapun, setakat ini hanya aktiviti futsal, bola sepak, ragbi dan yang berkaitan masih belum dibenarkan. “Masyarakat perlu mematuhi SOP dan waktu operasi di tempat riadah yang mereka kunjungi,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Bangunan Dun Lama baru-baru ini.

Menjelas tentang rintihan pengusaha sukan berhubung dengan jarak SOP dalam studio sukan seperti studio zumba dan gimnasium beliau memberitahu bahawa pihak mereka akur dengan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Ia termasuk subjek atau kemudahan sukan yang digunakan atlet negeri yang memerlukan tempat tersebut untuk menjalani latihan Sukma. “Contohnya, Pusat Akuatik Pandelela Rinong, khas untuk atlet negeri tetapi mereka perlu mengikuti SOP yang ditetapkan dan terbuka kepada orang awam.

Bagaimanpun jelasya, untuk tempat yang lain pengguna perlu mengikuti SOP yang telah ditetapkan, termasuk penjarakan sosial, 1.5 meter. Sarawak bersetuju membuka semula kompleks sukan rekreasi untuk orang ramai mulai hari ini (Khamis), tetapi tertakluk kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Pusat.

Pembukaan semula itu telah dipersetujui oleh Kerajaan Negeri setelah diperhalusi oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dan SOP yang telah dikemukakan oleh kementerian mendapat kelulusan.