KUALA LUMPUR: Persatuan berkaitan perubatan membantah sekeras-kerasnya pelaksanaan sistem syif baharu di klinik kerajaan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan meminta Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin campur tangan bagi menyelesaikan isu itu.

Dalam kenyataan bersama pada Rabu seperti dipetik Bernama, persatuan terbabit berkata keputusan melibatkan petugas perlu diberi perhatian yang serius kerana mereka merupakan tonggak dan penyumbang utama ke arah kejayaan perancangan organisasi.

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam, Persatuan Farmasi Malaysia, Persatuan Jururawat Malaysia, Kesatuan Jururawat Malaysia dan Kesatuan Pemandu-Pemandu Kementerian Kesihatan Semenanjung Malaysia.

Sementara itu, tinjauan dalam talian mengenai perkara tersebut oleh MMA dari 22 hingga 28 Mei lepas menunjukkan 92 peratus daripada 9,320 responden membantah pelaksanaan sistem berkenaan.